PETALING JAYA: Mitsubishi Corporation komited untuk meneruskan pelaburan dalam Malaysia LNG (MLNG) Dua dan MLNG Tiga, sekali gus mengukuhkan kerjasama dengan Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) yang sudah terjalin selama 46 tahun.
Petronas dalam kenyataan berkata, perjanjian baharu itu juga mengukuhkan lagi kepercayaan terhadap keupayaan syarikat nasional tersebut untuk menyampaikan gas asli cecair (LNG) ke pasaran antarabangsa dengan tumpuan utama kepada pelanggan di Jepun.
Perjanjian itu menggariskan pelaburan Mitsubishi Corporation dalam MLNG Dua dan MLNG Tiga untuk dekad akan datang dengan lanjutan 10 peratus pegangan ekuitinya dalam MLNG Dua dan pelaburan semula 10 peratus pegangan saham ekuiti dalam MLNG Tiga
Katanya, perjanjian itu menandakan penyertaan berterusan Mitsubishi Corporation dalam kedua-dua usaha niaga itu, bersama-sama dengan aktiviti pemasaran yang berkaitan dan penghantaran LNG dari Bintulu ke Jepun.
“Perkongsian strategik ini menyerlahkan landskap ekonomi Malaysia yang teguh, khususnya di Sarawak, sebagai destinasi menarik untuk pelaburan langsung asing.
“Kerjasama ini menekankan komitmen kedua-dua pihak untuk memastikan keselamatan tenaga dan cita-cita bersama mereka untuk masa depan rendah karbon,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Perjanjian tersebut ditandatangani ole Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Mitsubishi Corporation, Katsuya Nakanishi.
Tengku Muhammad Taufik berkata, Petronas berbesar hati untuk menandakan lembaran baharu dalam hubungan yang telah lama terjalin dengan Mitsubishi Corporation.
“Dengan sinergi kami yang diperkukuh, kami menantikan kejayaan berterusan MLNG Dua dan MLNG Tiga yang telah terbukti saling menguntungkan selama lebih 45 tahun.
“Bersama Mitsubishi Corporation dan sokongan Kerajaan Negeri Sarawak, Petronas kekal komited sepenuhnya untuk memastikan bekalan LNG yang selamat dan boleh dipercayai untuk memacu ekonomi Malaysia, Jepun dan pelanggan kami di seluruh dunia ke arah masa depan yang mampan dan rendah karbon,” ujarnya.
Kompleks LNG Petronas, melalui perkongsian dan bersama Mitsubishi Corporation memulakan pembekalan LNG kepada pembeli kontrak jangka panjang Jepun sejak 1983.
Kompleks ini terdiri daripada empat usaha sama iaitu MLNG, MLNG Dua, MLNG Tiga dan Petronas LNG 9 dengan kapasiti pengeluaran gabungan 29.3 juta tan setahun (MTPA), menjadikannya salah satu kemudahan LNG terbesar di dunia dalam satu lokasi.
Tambahnya, kompleks LNG Petronas adalah antara pembekal utama LNG, menyediakan penyelesaian tenaga rendah karbon kepada pelbagai pelanggan sektor awam dan swasta di Jepun.-UTUSAN










