PETALING JAYA: Industri pelancongan di Malaysia berjumlah RM275.8 bilion dengan menyumbang 15.1 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2023 berbanding 13.9 peratus pada tahun sebelumnya.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, dari segi pertumbuhan, industri pelancongan berkembang lagi sebanyak 10.3 peratus berbanding 26 peratus pada 2022.
“Pertumbuhan ini disokong oleh semua aktiviti ekonomi terutamanya perdagangan runcit, perkhidmatan khusus bercirikan pelancongan negara seperti spa dan MICE, serta perkhidmatan penyediaan makanan dan minuman.
“Namun, aktiviti ekonomi seperti perkhidmatan penginapan, perkhidmatan kebudayaan, sukan dan rekreasi serta perkhidmatan agensi pengembaraan dan penempahan lain kekal di bawah paras pra-pandemik 2019,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, prestasi memberangsangkan industri pelancongan Malaysia pada tahun lepas dipengaruhi oleh permintaan yang lebih kukuh daripada perbelanjaan pelancongan internal yang terdiri perbelanjaan inbound dan domestik.
“Perbelanjaan internal mencatatkan RM154.5 bilion tahun lalu, melonjak 66.1 peratus berbanding RM93 bilion dicatatkan pada 2022.
“Prestasi perbelanjaan pelancongan internal ini didorong perbelanjaan pelancongan inbound, diikuti perbelanjaan pelancongan domestik yang masing-masing menyumbang
49.1 peratus dan 50.9 peratus.
“Perbelanjaan pelancongan inbound di Malaysia meningkat sebanyak 124.3 peratus berjumlah RM75.8 bilion pada 2023, berbanding RM33.8 bilion pada tahun sebelumnya.
“Perbelanjaan pelancongan domestik pula berkembang 32.9 peratus dengan nilai RM78.7 bilion pada 2023 berbanding RM59.2 bilion pada 2022,” ujarnya.
Dari segi guna tenaga, industri pelancongan menyediakan pekerjaan seramai 3.4 juta orang atau peningkatan sebanyak 4.9 peratus pada tahun lalu berbanding 3.2 juta pada 2022.
Pekerjaan dalam industri pelancongan didominasi oleh perdagangan runcit, makanan dan minuman, serta perkhidmatan khusus bercirikan pelancongan negara.
Oleh itu, pekerjaan dalam sektor pelancongan menyumbang 21.4 peratus daripada jumlah keseluruhan pekerjaan di Malaysia. – UTUSAN










