MUKADIMAH
Traveloka merupakan sebuah platform pelancongan terkemuka di Asia Tenggara yang memperkasakan pengguna untuk meneroka, menempah dan menikmati pelbagai jenis produk pelancongan.
Platform ini menawarkan pilihan pengangkutan yang luas, termasuk penerbangan, bas, kereta api, kereta sewa dan perkhidmatan pengantaraan ke lapangan terbang.
Tawaran penginapan yang ditawarkan oleh Traveloka juga adalah pelbagai yang merangkumi hotel, apartmen, rumah tamu, inap desa, resort dan vila.
Sebagai tambahan, platform ini juga meningkatkan pengalaman percutian dengan menawarkan pakej kapal pelayaran dan akses kepada pelbagai tarikan tempatan seperti taman tema, muzium, lawatan harian dan banyak lagi.
Ikuti wawancara UTUSAN MALAYSIA dengan Presiden Traveloka, CAESAR INDRA mengenai pelancongan kapal pelayaran yang ditawarkan Traveloka.
UTUSAN: Menurut pandangan anda, apakah faktor-faktor yang menyumbang kepada peningkatan kepada populariti kapal pelayaran di Asia Tenggara dan di Malaysia?
CAESAR: Peningkatan populariti bagi kapal pelayaran di Asia Tenggara dipacu oleh beberapa faktor, antaranya kepelbagaian budaya yang kaya di rantau ini, landskap semulajadi yang indah serta pengalaman kulinari yang unik.
Faktor-faktor ini menjadikan Asia Tenggara sebuah destinasi yang semakin digemari oleh pelancong kapal pelayaran. Menurut Statista, pasaran kapal pelayaran di Asia Tenggara dijangka akan mencecah AS$1.44 bilion (RM6.19 bilion) pada 2024, dengan unjuran kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) kira-kira 3.62 peratus, membawa kepada saiz pasaran sebanyak AS$1.72 bilion (RM7.39 bilion) menjelang 2029.
Di Malaysia, kerajaan memainkan peranan penting dalam mempromosikan pelancongan kapal pelayaran sebagai strategi yang lebih luas untuk meningkatkan sektor pelancongannya.
Pelaburan besar telah dilakukan bagi infrastruktur pelabuhan termasuk membangunkan Pelabuhan Klang sebagai hab kapal pelayaran dan menambah baik Jeti Swettenham Pulau Pinang, serta penambahbaikan berterusan di pelabuhan seperti Kota Kinabalu, Langkawi, Melaka dan Kuantan.
Usaha-usaha ini bertujuan untuk menempatkan Malaysia sebagai satu daripada pemain utama dalam industri kapal pelayaran serantau. Kenyataan terbaharu dari Menteri Pengangkutan dan Menteri Pelancongan, Budaya dan Seni Malaysia menekankan komitmen kerajaan untuk menarik minat lebih ramai operator kapal pelayaran dan terus mengembangkan pelancongan kapal pelayaran di Malaysia.
Tourism Malaysia juga mempromosikan pelancongan kapal pelayaran dengan aktif menerusi kempen ‘Malaysia Truly Asia: Malaysia Cruise Tourism’ mereka. Hasilnya adalah jelas, menurut statistik terkini dari Tourism Malaysia bagi 2023, Malaysia telah mencatatkan pertumbuhan tidak dijangka dalam ketibaan kapal pelayaran.
Pelabuhan Malaysia telah menerima 1,055 kapal pelayaran dengan lebih 1.5 juta penumpang, merekodkan 84.78 peratus peningkatan dalam ketibaan kapal layar dan 62.43 peratus peningkatan jumlah penumpang berbanding angka pra pandemik pada 2019.
Tambahan, kerjasama terkini Traveloka dengan penyedia kapal pelayaran utama seperti Disney Cruise Line menawarkan pengembara pilihan yang lebih luas di samping meningkatkan profil Asia Tenggara sebagai destinasi utama kapal pelayaran. Perkembangan ini meningkatkan sektor pelancongan, merangsang ekonomi tempatan, menyediakan peluang pekerjaan dan terus memacu populariti kapal pelayaran di Asia Tenggara.
Apakah antara sebab utama rakyat Malaysia memilih percutian kapal pelayaran berbanding pilihan percutian yang lain?
Rakyat Malaysia kian tertarik dengan kapal pelayaran bagi pengalaman percutian unik dan pelbagai. Kapal pelayaran memberi peluang kepada pengembara untuk meneroka beberapa destinasi dan mengalami persekitaran pengalaman yang berbeza sambil menikmati kemudahan atas kapal layar yang luas.
Pilihan percutian semua dalam satu ini menawarkan kemudahan dan kemewahan menjadikannya satu pilihan yang menarik untuk ramai pengembara Malaysia.
Di Traveloka, kami menyedari akan permintaan yang semakin meningkat untuk penyelesaian percutian bersepadu dalam kalangan pelanggan Asia Tenggara kami. Platform kami menggabungkan tempahan kapal terbang, penginapan, pengangkutan darat, tarikan tempatan dan kapal pelayaran, menawarkan pengalaman tempahan yang diperkemas.
Kemudahan ini menarik minat lebih 48 juta pengguna aktif bulanan menjadikan ia lebih mudah untuk menikmati pengalaman manis di atas kapal pelayaran seperti Disney Cruise Line di Singapura.
Apakah peranan yang dimainkan oleh media sosial dalam peningkatan populariti kapal pelayaran?
Media sosial memainkan peranan penting dalam pertumbuhan populariti kapal pelayaran dengan menyediakan platform yang berkuasa bagi memberi inspirasi, maklumat dan keterlibatan buat pengguna. Pengembara kini beralih ke platform seperti Instagram, Tiktok, Facebook dan Youtube bagi meneroka destinasi baharu, membaca ulasan dan melihat pengalaman masa sebenar yang dikongsi oleh penumpang kapal pelayaran lain.
Kandungan yang dijana oleh pengguna ini melahirkan rasa keterujaan dan kepercayaan, menjadikan kapal pelayaran lebih menarik bagi pengembara potensi. Di Traveloka, kami menyedari akan impak penting sosial media dalam membentuk pilihan percutian.
Kami secara aktif menggunakan platform-platform ini untuk mempamerkan destinasi kapal pelayaran, pengalaman atas kapal dan tawaran istimewa yang sejajar dengan minat dan pilihan pelanggan kami. Dengan memberikan pilihan perjalanan kos efektif dan berkongsi kandungan menarik, kami menginspirasikan pelanggan kami untuk mempertimbangkan kapal pelayaran sebagai pilihan percutian yang pelbagai dan menyeronokkan.
Menurut Statista, menjelang tahun 2028, 21 peratus jumlah hasil dalam pasaran kapal pelayaran dijangka adalah menerusi jualan dalam talian. Bagaimanakah ini memberi impak kepada Traveloka?
Kami melihat unjuran industri ini dengan optimis, di samping mengiktiraf peningkatan penting jualan dalam talian dalam pasaran kapal pelayaran. Di Traveloka, kami ingin mengambil peluang trend ini dengan memanfaatkan strategi harga dinamik dan teknologi yang diperkasakan oleh kecerdasan buatan (AI) untuk melaraskan harga tiket berdasarkan bekalan masa nyata dan permintaan pasaran.
Ini membolehkan kami untuk menawarkan harga kompetitif yang sejajar dengan keadaan pasaran sambil memaksimumkan nilai kepada pelanggan. Kami menasihatkan pengguna untuk mempertimbangkan pembelian tiket kapal pelayaran pada harga yang berpatutan dengan lebih awal berbanding menunggu untuk harga yang sempurna.
Apakah antara pakej yang akan ditawarkan di Traveloka bagi Disney Adventure Cruise bagi rakyat Malaysia?
Maklumat pakej-pakej untuk Disney Adventure Cruise kini masih sedang dalam perbincangan.
Traveloka bercadang untuk menawarkan pelbagai pilihan untuk disesuaikan dengan pilihan dan belanjawan yang berbeza, membolehkan pelanggan untuk menggabungkan tempahan penerbangan, hotel, tarikan dan pengalaman kapal pelayaran dengan mudah.
Kami menjemput pelanggan kami untuk mendaftarkan minat mereka di platform kami kerana jualan tiket bagi Disney Cruise Line dijangka akan bermula di Traveloka pada lewat 2024. Ikuti saluran media sosial kami untuk mendapatkan maklumat terkini tawaran dan pakej-pakej menarik.
Dengan peningkatan populariti kapal pelayaran, menurut anda, apakah impak yang mungkin ada pada ekonomi dan pelancongan tempatan?
Peningkatan populariti kapal pelayaran dijangka dapat meningkatkan ekonomi dan pelancongan tempatan dengan ketara. Kami menjangkakan permintaan kukuh bagi pelayaran Disney Cruise Line di Singapura disebabkan oleh tarikan global Disney dan lokasi Singapura yang strategik sebagai hab perjalanan utama. Permintaan ini yang kebanyakannya hadir dalam kalangan golongan keluarga, peminat Disney dan pelancong kapal pelayaran yang inginkan pengalaman baharu akan menyebabkan peningkatan dalam tempahan penginapan, pengangkutan dan tarikan tempatan kepada pelabuhan negara asal.
Dengan lebih ramai pengembara memulakan pelayaran, mereka akan mempunyai peluang untuk meneroka pelbagai pengalaman dan tarikan di destinasi di mana kapal pelayaran berlabuh. Aliran pelancong yang berterusan ini akan memberi manfaat kepada rangkaian perniagaan tempatan, dari hotel dan restoran kepada pengusaha pelancongan dan kedai-kedai, memupuk pertumbuhan dan kestabilan ekonomi jangka panjang.-UTUSAN










