PETALING JAYA: Bursa Malaysia naik 1.56 mata kepada 1,653.05 pada pukul 9.05 pagi hari ini, berbanding 1,651.49 pada penutup Isnin.
Indeks penanda aras dibuka tinggi pada 1,653.80.
Jumlah dagangan sebanyak 155.83 juta unit bernilai RM96.36 juta.
Di pasaran yang lebih luas, kaunter untung mengatasi rugi sebanyak 254 berbanding 101 dengan 260 kaunter tidak berubah dan 1,840 tidak diniagakan.
Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, prestasi bursa saham Malaysia dijangka terus berhati-hati berikutan kebimbangan risiko deflasi di China serta pengumuman kadar inflasi Amerika Syarikat (AS) pada Rabu ini.
“Rizab Persekutuan (Fed) AS dijangka akan menurunkan faedah pada minggu hadapan.
“Berdasarkan kontrak niaga hadapan bagi pasaran Fed Fund Rate (FFR), kebanyakkan pedagang menjangkakan pihak Fed AS akan mengurangkan kadar faedah sebanyak 50 mata asas.
“Justeru itu, konteks penurunan kadar faedah yang bersifat agresif ini dilihat bagi mengekang pertumbuhan ekonomi AS yang memperlahan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambahnya, harga minyak mentah global juga dilihat rendah.
“Oleh itu, perkara ini mendatangkan kebimbangan dikalangan para pelabur terhadap prospek pertumbuhan ekonomi global yang juga dilihat memperlahan,” katanya. – UTUSAN.











