MENGAMBIL langkah berani dalam kehidupan dengan memasuki alam perniagaan sememangnya telah membuka nasib baharu buat usahawan, Nor Dhamirah dan suaminya, Mohd Zulatika Ghani yang kini telah berjaya mencipta nama dalam industri perniagaan emas di Malaysia.
Pengasas Mira Gold, Nor Dhamirah Daling berkata, sebelum menjalankan perniagaan emas pada tahun 2018, mereka sudah beberapa kali mencuba cabang perniagaan lain.
“Pada awal mula berniaga pada 2018, kami tidak terus memulakan perniagaan emas tetapi kami sudah cuba beberapa perniagaan lain.
“Alhamdulillah, perniagaan emas ini telah menjadi pembuka pintu rezeki buat saya dan keluarga walaupun mempunyai banyak cabaran pada mulanya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Graduan lepasan Ijazah Kejuruteraan Elektrik, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu turut berkongsi bahawa emas yang dijual pada awal pembukaan sekitar awal permulaan hanya 500 gram (g) sahaja.
“Kami pada awal berniaga memang tak banyak, hanya 500g sahaja yang ada di dalam kedai. Jadi boleh dikatakan modal memang tidak ada waktu itu namun kami tetap berusaha.
Tambahnya, modal yang diperolehi ketika memulakan Mira Gold adalah hasil daripada simpanan mereka suami isteri ketika bekerja di Singapura dan sedikit suntikan kewangan daripada ibu bapa.
“Selepas tamat belajar pada tahun 2015, kami suami isteri telah bekerja di Singapura. Jadi hasil simpanan daripada bekerja di sana kami jadikan modal untuk memulakan perniagaan.
“Saya ada juga meminjam modal dari kedua orang tua untuk membuka kedai. Ibu mertua juga turut membantu dalam memberikan suntikan modal sebanyak RM70, 000, hasil daripada emas yang digadai,” kongsinya.
Jelas Dhamirah, selepas perintah kawalan pergerakan (PKP), Mira Gold berjaya untuk mula bergerak ke hadapan dan membuka cawangan baharu.
“Semasa PKP dan selepas PKP itu sememangnya Allah bagi rezeki yang melimpah ruah sehingga kami. Kami mula untuk mendapat permintaan yang tinggi khususnya pelanggan secara atas talian.
“Daripada permintaan yang tinggi, kami yang bermula di Pasir Gudang, Johor dapat membuka cawangan terbaharu di Kuala Lumpur.
“Buat masa ini, cawangan utama kami di Johor mampu mencatatkan keuntungan lebih daripada RM3 juta,” katanya.
Selain itu, kongsinya, Mira Gold sehingga kini komited dalam membina satu jenama emas yang mampu untuk bersaing dengan jenama-jenama besar di luar sana dengan menampilkan kelainannya yang tersendiri.
“Kami mempunyai banyak koleksi sejak penubuhan syarikat untuk sentiasa memastikan produk kami mampu bersaing dengan jenama emas di luar sana.
“Untuk kerjasama bersama selebriti, kami telah berjaya menghasilkan dua koleksi bersama pelakon dan penyanyi, Adira Suhaimi,” kongsinya.
Bercerita mengenai persaingan perniagaan emas yang lebih sinonim dengan orang Cina, Dhamirah menganggap bahawa persaingan itu sememangnya mempunyai tahap kesukarannya yang tersendiri tetapi harus tampil bijak jika ingin kekal dalam perniagaan.
“Hendak bersaing memang agak susah kerana kami sendiri kekurangan dana dengan modal yang terhad, tetapi bagi saya, kita kena bergerak dengan cara yang tersendiri.
“Yang penting apa visi dan misi yang anda letakkan dalam perniagaan untuk capai dan seberapa jauh yang awak nak pergi. Itu yang paling penting.
“Jika ingin bersaing itu memang susah tetapi kita kena cuba untuk keluar dan tembusi persaingan itu macam mana untuk membawa jenama perniagaan,” ujarnya.-UTUSAN










