Mah Sing dijangka raih untung hasil jual tanah untuk pusat data - Utusan Malaysia

Mah Sing dijangka raih untung hasil jual tanah untuk pusat data

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: RHB Investment Bank menjangkakan Mah Sing Group Berhad (Mah Sing) mampu mencatatkan keuntungan jualan tanah yang besar untuk pusat data pada tahun kewangan 2025.

Frma penyelidikan itu berkata, Mah Sing kini dalam rundingan lanjut untuk plot tanah seterusnya di Southville DC Hub, Selangor dengan kapasiti 90 megawatt (MW) selepas pembinaan pusat data 100MW dengan Bridge DC.

“Di Johor, kira-kira 17.2 hektar tanah di Meridin East mungkin juga akan dijual kepada pemain pusat data. Justeru, keuntungan jualan tanah yang besar boleh dicatat pada tahun kewangan 2025,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Menurutnya, aliran berita mengenai pelaburan syarikat dalam segmen pusat data akan terus menarik minat pelabur terhadap saham ini.

“Sehubungan itu, kami mengekalkan saranan ‘beli’ pada harga sasaran (TP) RM2.26 sesaham dengan potensi kenaikan 39 peratus, dan hasil sekitar tiga peratus.

“Keputusan suku kedua tahun kewangan 2024 Mah Sing juga berada dalam jangkaan kami.

“Pendapatan dan keuntungan 2024 kekal stabil berbanding suku pertama 2024, namun pendapatan separuh pertama 2024 menurun, terutamanya disebabkan oleh peratusan tinggi projek baru yang berada di peringkat awal pembinaan.

“Bagaimanapun, pertumbuhan pendapatan sebelum faedah dan cukai (EBIT) yang lebih baik dalam separuh pertama adalah disebabkan oleh margin yang lebih baik dan pengurangan kerugian dari segmen pembuatan berbanding tempoh yang sama tahun lalu.” jelasnya.

Sementara itu, kata RHB Investment, jualan hartanah 2024 mencapai RM650 juta berbanding RM595 juta pada suku pertama 2024 dengan jualan hartanah keseluruhan untuk tempoh lapan bulan pertama 2024 telah mencapai RM1.66 bilion.

“Ini adalah daripada RM1.25 bilion yang disumbangkan, terutamanya oleh M Minori di Johor (RM331 juta), M Zenya (RM281 juta). Meridin East (RM271 juta) dan M Senyum (RM121 juta)

“Selain tempahan sedia ada bernilai RM259 juta, dengan pelancaran projek yang sihat termasuk M Azura di Setapak, M Tiara rumah berkaitan di Johor Bahru, M Aspira di Taman Desa serta pelancaran pertama M Legasi di Semenyih (tanah Glengowrie), Mah Sing dijangka dapat mencapai sasaran jualan RM2.5 bilion menjelang akhir tahun.

“Pada pandangan kami, rumah teres di Iskandar Malaysia dan Semenyih dijangka diterima dengan baik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×