KPK mahu dana tanam semula sawit ditingkatkan - Utusan Malaysia

KPK mahu dana tanam semula sawit ditingkatkan

JOHARI Abdul Ghani menyampaikan Anugerah Khas Rakan Strategik Industri Sawit kepada penerima dari Union Harvest Sdn Bhd pada Majlis Anugerah Industri Sawit Malaysia 2023/2024 di Hotel Marriot Putrajaya di sini, hari ini. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) berharap kerajaan dapat meningkatkan dana pembiayaan tanam semula sawit dalam pembentangan Belanjawan 2025 nanti.

Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pihaknya berharap dana lebih besar diberikan berbanding RM100 juta diperuntukkan pada belanjawan tahun ini.

Beliau berkata, pihaknya mendapati masih banyak pokok kelapa sawit dikendalikan pekebun kecil ini sudah banyak yang tua.

“Mereka (pekebun kecil) nak buat penanaman semula tapi tiada duit. Mereka ini mewakili ladang kelapa sawit seluas 1.5 juta hektar di seluruh negara.

“Mereka amat mahukan dana itu. Tahun lalu kerajaan agihkan RM100 juta tapi ia dalam bentuk 50 peratus geran dan 50 peratus dalam bentuk pinjaman.

“Saya difahamkan, dana itu sudah hampir habis digunakan. Malah, pekebun kecil harapkan lebih banyak dana itu sekali gus memastikan pasaran eksport negara tidak terjejas,” katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Industri Sawit Malaysia (AISM) 2023/2024 di sini, hari ini

Katanya, dana pembiayaan tanam semula sawit adalah antara dua agenda utama diperjuangkan KPK dalam Belanjawan 2025 nanti selain kadar baharu cukai durian runtuh atau ‘windfall tax’.

Pada pembentangan Belanjawan 2024 lalu, kerajaan memperuntukkan RM100 juta bagi Skim Insentif Pembiayaan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS 2.0) bagi kerja-kerja penanaman semula sawit untuk pengusaha sawit khususnya pekebun kecil persendirian.

Insentif itu disediakan dan diperkenalkan kerajaan melalui Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Perladangan dan Komoditi serta diumumkan dalam Belanjawan 2024.

Dana itu membabitkan Dua komponen iaitu geran (50 peratus) dan sebahagian lagi adalah pembiayaan (50 peratus) kepada pekebun kecil persendirian.

Dana itu dikendalikan dan disediakan Agrobank dengan kadar faedah yang rendah iaitu kira-kira dua peratus.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN