PETALING JAYA: Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) meningkat sebanyak 5.3 peratus pada Julai 2024, dipacu oleh pertumbuhan kukuh output sektor pembuatan, menurut laporan Jabatan Perangkaan.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, peningkatan IPP adalah selepas mencatatkan pertumbuhan 5.0 peratus pada bulan sebelumnya.
“Pengembangan ini dipacu oleh peningkatan kukuh output pembuatan sebanyak 7.7 peratus berbanding 5.2 peratus pada bulan sebelum dan pertumbuhan output elektrik sebanyak 7.0 peratus (Jun 2024: 3.5 peratus).
“Sementara itu, pengeluaran sektor perlombongan menurun 5.0 peratus berbanding pertumbuhan positif 4.9 peratus pada Jun 2024. IPP menurun 1.5 peratus daripada pertumbuhan 4.8 peratus pada bulan sebelumnya.
“Kedua-dua industri berorientasikan eksport dan domestik menunjukkan prestasi yang baik dengan masing-masing merekodkan pertumbuhan 7.8 peratus (Jun 2024: 5.4 peratus) dan 7.5 peratus (Jun 2024: 4.6 peratus),” katanya dalam kenyataan.
Selain itu, beliau berkata, pertumbuhan industri berorientasikan eksport disokong oleh pengembangan merentasi semua industri, terutamanya oleh pertumbuhan dua digit dalam pembuatan minyak dan lemak daripada sayuran dan haiwan sebanyak 21.9 peratus berbanding 11 peratus pada Jun.
“ini diikuti oleh pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal sebanyak 5.0 peratus berbanding 4.9 peratus pada bulan sebelumnya.
“Bagi pembuatan kok dan produk petroleum bertapis turut kekal tinggi, dengan pertumbuhan sebanyak 11.7 peratus berbanding 12.5 peratus pada Jun.
“Pertumbuhan tahun ke tahun industri yang berorientasikan eksport dicerminkan oleh prestasi eksport barangan perkilangan negara yang meningkat kepada 10.6 peratus.
“Perbandingan bulan ke bulan, industri berorientasikan eksport menurun 3.3 peratus daripada pertumbuhan 11.8 peratus pada Jun,” katanya.
Beliau berkata, peningkatan dalam industri berorientasikan domestik didorong, terutamanya oleh pertumbuhan kukuh pembuatan produk galian bukan logam lain dan pembuatan logam asas yang masing-masing mencatatkan peningkatan sebanyak 12.2 peratus dan 10.5 peratus.
“Tambahan lagi, pembuatan kenderaan bermotor, treler dan semi treler memulih dengan pertumbuhan 3.9 peratus (Jun 2024: -10.7 peratus) dan industri berorientasikan domestik meningkat 1.0 peratus (Jun 2024: -5.4 peratus).
“Penurunan 5.0 peratus dalam sektor perlombongan pula adalah berikutan penyusutan 5.4 peratus (Jun 2024: 6.0 peratus) dalam pengeluaran Gas Asli dan kejatuhan 4.4 peratus (Jun 2024: 3.4 peratus) bagi output minyak mentah dan kondensat pada bulan tersebut.
“Indeks perlombongan menurun 2.1 peratus bulan ke bulan, berbanding pertumbuhan positif 4.0 peratus pada bulan sebelumnya, manakala penjanaan elektrik meningkat 7.0 peratus (Jun 2024: 3.5 peratus) tahun ke tahun pada Julai 2024. Perbandingan bulan ke bulan, indeks Elektrik memulih 5.4 peratus (Jun 2024: -6.2 peratus),” katanya.
Di peringkat global, IPP bagi beberapa negara meningkat pada Julai 2024, termasuk Korea Selatan, Singapura, Jepun, Vietnam, dan Thailand dengan pertumbuhan yang lebih perlahan dilihat di China dan Taiwan.
Sebaliknya, Amerika Syarikat mengalami penurunan marginal pada Julai 2024. – UTUSAN











