PETALING JAYA: Iddas Frozen, pengeluar kuih muih sejuk beku atas jenama Idda’s Frozen dengan pensijilan halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyasarkan untuk menembusi pasaran antarabangsa menjelang tahun depan.
Pengasasnya, Hamidah Sulaiman, 50, berkata, antara pasaran sasaran mereka adalah negara-negara di Asia Tenggara seperti Brunei dan Singapura, namun tidak menolak peluang jika terdapat permintaan daripada negara-negara lain.
“Semasa Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2024, kami mendapat respon yang baik daripada pembeli dari beberapa negara termasuk Mauritius dan United Kingdom (UK). Jika ada permintaan dalam kalangan negara ini, kami akan cuba untuk memenuhinya.
“Kami lihat ramai yang berminat kepada karipap pusing keluaran kami dan ada yang ingin bawa pergi ke Mauritius. Selain itu, roti canai sejuk beku kami juga mendapat permintaan yang baik,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.
Sementara itu, Hamidah yang mendaftarkan syarikat secara rasmi dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada 2012 dan pada mulanya beroperasi di rumah itu kini sudah mempunyai dua premis perniagaan yang menghasilkan kira-kira 10,000 kuih setiap hari.
Menurutnya, menyedari peluang pasaran yang lebih meluas yang ditawarkan dengan pensijilan halal, dia memilih untuk pindah ke premis perniagaan pertamanya di Gerik, Perak pada 2019 dengan sasaran untuk mendapatkan pensijilan halal.
“Pada 2019 itu kami membuat pengubahsuaian di premis tersebut dengan bimbingan dari Kementerian Kesihatan supaya mendapatkan pensijilan MeSTI yang diperoleh dalam masa tiga bulan.
“Bagaimanapun, pada 2020 berlaku pandemik Covid-19 dan melambatkan sedikit proses kami untuk mendapatkan pensijilan halal. Kami menerima pensijilan halal pada penghujung tahun 2020,” ujarnya.
Tambahnya, pensijilan halal telah membantu Iddas Frozen untuk menembusi pasaran yang lebih luas termasuk pasar raya besar yang sangat menitik beratkan pensijilan tersebut apabila ingin dipasarkan di pasar raya mereka.
“Buat masa ini, kami sudah berada di beberapa pasar raya termasuk Jaya Grocer dan Lesong Mart. Pensijilan halal penting kerana bukan sahaja ia dapat meningkat keyakinan dan kepercayaan orang ramai terhadap produk itu, malah membuka peluang pasaran yang lebih meluas.
“Selain dapat memasuki pasar raya, ia juga memudahkan kami untuk memasuki pameran. Jualan juga meningkat dari dahulu sekitar RM4,000 hingga RM5,000 sebulan kepada RM40,000 hingga RM50,000 sebulan,” ujarnya.-UTUSAN










