PETALING JAYA: Indeks seunit harga besi merekodkan penurunan kecil antara 0.3 peratus hingga 1.4 peratus bagi kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak pada Ogos 2024 berbanding bulan lepas.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, penurunan tertinggi dicatatkan bagi kawasan Terengganu dan Kelantan (1.4 peratus), diikuti dengan kawasan Miri (1.1 peratus) dan Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan (0.7 peratus).
Katanya, terdapat peningkatan dalam indeks harga seunit simen antara 0.3 peratus hingga 1.6 peratus bagi kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
“Peningkatan tertinggi di Johor (1.6 peratus), diikuti dengan kawasan Pahang (0.5 peratus) dan Terengganu dan Kelantan (0.3 peratus).
“Sementara itu, indeks harga seunit pasir merekodkan peningkatan antara 1.3 peratus hingga 17.2 peratus bagi beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia pada Ogos 2024 berbanding bulan lepas,” katanya dalam kenyataan.
Mohd Uzir berkata, peningkatan tertinggi dicatatkan bagi kawasan Pulau Pinang, Kedah dan Perlis (17.2 peratus), diikuti dengan Johor (8.6 peratus) dan Pahang (6.2 peratus).
Selain daripada itu, beliau berkata, indeks harga seunit batu baur juga mecatatkan peningkatan antara 0.3 peratus hingga 7.3 peratus bagi hampir semua kawasan pada Ogos 2024 berbanding bulan lepas.
“Perbandingan tahunan untuk tempoh Ogos 2023 dan Ogos 2024 pula menunjukkan indeks harga seunit simen merekodkan peningkatan kecil antara 0.2 peratus hingga 3.5 peratus bagi kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
“Peningkatan tertinggi dicatatkan bagi kawasan Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan (3.5 peratus), diikuti dengan Pahang (2.7 peratus) dan Pulau Pinang, Kedah dan Perlis (2.3 peratus),” ujarnya.
Katanya, perbandingan tahunan indeks harga seunit besi pula mencatatkan penurunan antara negatif 0.6 peratus hingga negatif 4.2 peratus pada Ogos berbanding bulan yang sama tahun lalu bagi hampir semua kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
Tambahnya, purata harga simen (Ordinary Portland) mencatatkan peningkatan kecil (0.6 peratus) dengan purata harga RM23.33 untuk 50 kilogram (kg) sekarung berbanding Julai 2024 (RM23.20 untuk 50 kg sekarung).
“Purata harga seunit besi yang terdiri daripada bar bulat keluli lembut dan Mycon 60 high tensile deformed bars merekodkan penurunan (0.6 peratus) dengan purata harga RM3,705.37 bagi setiap tan metrik berbanding bulan sebelumnya (Julai 2024: RM3,726.37 bagi setiap tan).
“Perbandingan bulanan Indeks Kos Bahan Binaan Bangunan (IKB) termasuk bar keluli bagi semua kategori bangunan pada Ogos meningkat antara 0.1 peratus hingga 2.1 peratus bagi hampir semua kawasan di Semenanjung Malaysia.
“Peningkatan tertinggi bagi IKB telah dicatatkan di kawasan Johor untuk kategori bangunan (konkrit tetulang) dua hingga empat tingkat (berbumbung rata) dan cerucuk konkrit tetulang (masing-masing 2.1 peratus),” jelasnya. – UTUSAN










