PETALING JAYA: HSBC Global Research yang menaikkan penarafannya terhadap ekuiti Malaysia kepada ‘neutral’ menyifatkan pasaran domestik berada pada kedudukan terbaik disebabkan hasil bon Amerika Syarikat (AS) yang lebih rendah dan ringgit yang lebih kukuh.
Firma penyelidikan itu juga menaikkan sasaran akhir 2024 untuk FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) kepada 1,740 mata.
Bagi 2025, ia mengunjurkan 1,920 mata menjelang akhir tahun.
Jelas HSBC Global Research, pasaran Malaysia telah mencapai prestasi yang sangat baik setakat tahun ini.
“FBM KLCI meningkat 23 peratus tahun sehingga kini dari segi dolar AS dan 15 peratus dalam mata wang tempatan, prestasi yang lebih baik berbanding rantau ini.
“Kami percaya pasaran berada pada kedudukan terbaik hasil bon yang lebih rendah di AS dan ringgit yang lebih kukuh seharusnya meningkatkan pendapatan syarikat domestik, meningkatkan kecairan dan memacu prestasi pasaran keseluruhan,” katanya dalam nota penyelidikan.
“Ekonomi juga mendapat manfaat daripada pelaburan asing yang kukuh,” katanya.
Dalam pada itu, HSBC Global Research percaya Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk mendapat manfaat daripada peningkatan dalam pusat data di tengah-tengah peningkatan permintaan untuk perkhidmatan awan dan kecerdasan buatan (Al), dengan gergasi teknologi besar sudah melabur banyak dalam pasaran.
“Kami percaya sektor utiliti dan industri berada pada kedudukan terbaik untuk mendapat manfaat daripada trend ini,” katanya.
Firma penyelidikan itu berkata, konsensus pasaran meramalkan pendapatan meningkat 20 peratus pada 2024 dan 10 peratus pada 2025.
Dari segi penilaian, FBM KLCI berdagang pada nisbah harga kepada pendapatan (PE) 12 bulan hadapan sebanyak 14 kali, yang sebahagian besarnya setanding dengan gandaan PE median lima tahun.
“Kedudukan pelabur mash belum sesak dan pembelian asing telah meningkat sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
“Ekuiti Malaysia menikmati aliran asing yang kukuh sehingga mencecah AS$1.1 bilion (RM4.5 bilion) dalam tempoh tiga bulan lepas.
“Hasil bon global yang lebih rendah memainkan peranan dalam meningkatkan kecairan pasaran untuk FBM KLCI meningkat tiga kali ganda dalam tempoh 12 bulan lalu,” katanya.
Dari segi makroekonomi, prospek Malaysia juga kelihatan menggalakkan.
Sementara itu, Ahli ekonomi HSBC Global Research Asean, Yun Liu baru-baru ini menaikkan anggaran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk 2024 daripada 4.5 kepada 5 peratus.
“Sektor pembuatan sedang mengalami peningkatan teknologi global, sektor pembinaan mendapat manfaat daripada peningkatan minat dalam projek berskala besar berkaitan pelaburan langsung asing (FDI), seperti pusat data dan sektor pelancongan juga berada di landasan yang betul,” katanya.-UTUSAN










