KUALA LUMPUR: Crest Group Berhad (Crest) menyasarkan untuk mengumpul RM45.75 juta menerusi tawaran awam permulaan (IPO) membabitkan terbitan 234.70 juta saham biasa pada harga 35 sen sesaham.
Menerusi prospektus IPO syarikat yang akan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Bhd (Bursa Securities) 9 Oktober ini, syarikat itu dengan modal saham yang diperbesarkan sebanyak 865,598,000 saham, anggaran kapitalisasi pasaran syarikat semasa penyenaraian adalah kira-kira RM302.96 juta.
Pengarah Urusan Kumpulan Crest, Lim Siong Wai berkata, sebahagian daripada usaha berterusan syarikat untuk berkembang, kumpulan memperuntukkan RM14.52 juta atau 31.73 peratus daripada hasil IPO syarikat untuk mengembangkan kehadiran kumpulan ke pasaran utama.
“Rancangan kami termasuk membuka pejabat di Ho Chi Minh City, Vietnam, serta Chengdu dan Shenzhen, China.
“Kami sedang aktif mengenal pasti ruang pejabat yang sesuai dan akan mula merekrut kakitangan baharu secara berperingkat,” katanya dalam majlis pelancaran prospektus Crest di sini, semalam.
IPO ini melibatkan tawaran awam sebanyak 130,705,300 saham biasa baharu (saham terbitan) dan tawaran penjualan sebanyak 103,890,000 saham biasa sedia ada.
Selain itu, syarikat juga akan membelanjakan kira-kira RM3.60 juta (7.87 peratus) untuk mengembangkan pasukan sokongan teknikal dan penyelenggaraan, RM5.87 juta (12.83 peratus) untuk pembelian peralatan demonstrasi tambahan dan RM15.76 juta (34.45 peratus) untuk ibu pejabat pusat baharu.
Di samping itu, Siong Wai berkata, pihaknya akan menambah kakitangan jualan untuk pejabat baharu di Vietnam dan China, serta di pejabat sedia ada di Thailand.
Jelas beliau, pihaknya sedang menubuhkan ibu pejabat baharu di Selangor untuk menyelaraskan pejabat dan operasinya di kawasan tengah Malaysia.
“Pusat ini akan membolehkan kami mengurus sumber kami dengan lebih berkesan, menyokong pasukan dan memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan.
“Selain itu, kami merancang untuk meningkatkan bilik demonstrasi kami di Malaysia, China dan Thailand dengan melabur dan mempamerkan penyelesaian peralatan pengimejan dan pengurusan sampel yang canggih kepada pelanggan,” ujarnya.
Crest ditubuhkan pada 1999, pada asalnya memberi tumpuan kepada pembekalan peralatan pemeriksaan dan kawalan kualiti kepada industri semikonduktor serta elektronik dan elektrik (E&E).
Crest kini mengendalikan pejabat di Malaysia, China, Thailand dan Singapura. – UTUSAN










