CapsuleTransit lancar hotel transit premium di KLIA Terminal 2

CapsuleTransit lancar hotel transit premium di KLIA Terminal 2

ANTHONY Loke Siew Fook (dua dari kiri) bersama Ryan Loo pada Majlis Perasmian Pembukaan CapsuleTransit MAX di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2, Sepang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Penyedia penginapan di lapangan terbang, CapsuleTransit hari ini melancarkan hotel transit premium untuk pengembara tempatan dan antarabangsa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2. 

CapsuleTransit MAX (Malaysia’s Authentic eXperience) yang dilengkapi dengan 46 katil itu turut menawarkan kemudahan setaraf hotel lima bintang termasuk ruang istirehat, spa serta gimnasium. 

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif CapsuleTransit, Ryan Loo berkata, CapsuleTransit MAX direka untuk meningkatkan keselesaan dan kemudahan para pengembara semasa transit, serta memastikan perjalanan mereka menjadi lebih lancar dan menyenangkan.

Jelasnya, hotel itu menggabungkan elemen kemewahan, warisan budaya dan sentuhan artis berbakat untuk memberikan pengalaman penginapan yang unik dan tidak mudah dilupakan oleh pelanggan. 

“Bagi menyajikan ‘Malaysia’s Authentic eXperience’ yang sebenar, MAX direka untuk memperkenalkan tetamu kepada kekayaan budaya Malaysia dengan menampilkan bakat terbaik tempatan.

“Ruang dan suasana di MAX mendapat sentuhan teliti oleh Blu Water Studio untuk menggambarkan bakat dan kreativiti Malaysia dengan kerjasama artis digital terkemuka, Abdul Shakir. 

“Kami sediakan pelbagai kemudahan yang memenuhi keperluan pelancong sama ada untuk berehat dan bersantai atau melaksanakan urusan rasmi, serta memastikan setiap tetamu meninggalkan hotel ini dengan penuh kepuasan,” katanya pada majlis perasmian pembukaan CapsuleTransit MAX di KLIA Terminal 2 di sini hari ini. 

Pembukaan CapsuleTransit MAX itu dirasmikan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook. 

Mengulas lanjut, Ryan Loo berkata, menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, CapsuleTransit akan terus bekerjasama dengan Malaysia Airlines Berhad (MAHB)  untuk menambah kira-kira 200 katil lagi bagi meningkatkan pilihan penginapan kepada pengunjung.

“Capsule Transit telah melangkah jauh sejak penubuhannya pada 2014. Kami amat berbangga untuk melancarkan usaha terbaru kami dengan hotel transit 46 bilik di KLIA Terminal 2 pada hari ini.

“Pelancaran ini menekankan komitmen kami untuk menyambut pengembara dan pelancong dari seluruh dunia dengan mesra dan kami berusaha untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi utama di Asia,” ujarnya. 

Sementara itu, Anthony Loke menerusi ucapan perasmiannya berkata, pembukaan CapsuleTransit MAX bertepatan dengan usaha Malaysia dalam menyambut ketibaan pelancong dan pengembara perniagaan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Terima kasih CapsuleTransit kerana menyokong usaha kerjasama antara kerajaan dan sektor swasta untuk menambah baik tawaran kepada pengembara di lapangan terbang.

“Saya juga kagum dengan kemajuan pantas yang dicapai sejak lawatan saya ke pelancaran terakhir sebuah lagi hotel pada Jun tahun lepas, selaras dengan objektif kementerian untuk memastikan perkhidmatan disampaikan dengan cekap dan selamat, di samping menambah baik daya saing dan pertumbuhan ekonomi negara.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN