KUALA LUMPUR: Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. (Andalusia) menawarkan diskaun sehingga RM1,000 untuk pakej umrah sempena Matta Fair 2024 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) bermula 6 hingga 8 September ini.
Syarikat pengendali umrah dan haji itu turut menawarkan diskaun pakej pelancongan sehingga RM200 dalam tempoh tersebut.
Lembaga Pemasaran dan Jualan Andalusia, Izzati Ibrahim berkata, bersempena Matta Fair kali ini, pihaknya menyediakan pakej Istimewa khusus untuk pelanggannya.
“Andalusia bersama Saudi Tourism Authority (STA) dan We Express Sdn. Bhd. membawa satu pakej baharu, Pakej Menelusuri Sirah dan Umrah bersama selebriti, Alif Satar yang akan diterbangkan pada 17 Disember hingga 28 Disember ini.
“Pakej ini akan mendapat pengalaman yang lebih unik berbanding pakej umrah biasa kerana Andalusia membawa melawati empat tempat ziarah baharu iaitu di Khaybar, Al-Ula, Jeddah dan Riyadh dengan harga pakej bermula RM 12,290 sehingga RM 15,990 seorang,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Diskaun Matta Fair 2024 di sini semalam..
Dalam pada itu, Izzati berkata, sempena Matta Fair 2024, Andalusia menyasarkan sebanyak 4,500 pendaftaran bagi pakej yang ditawarkan.
“Pada Matta Fair kali ini, Andalusia turut membuat kelainan dengan menyediakan manisan dan minuman dari Arab Saudi buat pengunjung reruai kami.
“Selain itu, pengunjung yang mendaftar pakej bersama Andalusia juga berpeluang merebut 3,000 hadiah misteri yang disediakan,” katanya.
Bagi melancarkan proses pendaftaran pakej-pakej yang ditawarkan, beliau berkata, seramai 90 penasihat jualan Andalusia akan bersedia di reruai untuk membantu pengunjung yang hadir.
“Pada Matta Fair kali ini juga, penasihat jualan kami akan membantu pengunjung membuat pendaftaran menggunakan sistem yang disediakan berbanding sebelum ini di mana pendaftaran dibuat secara manual.
“Dengan penambahbaikan tersebut dan jumlah penasihat jualan yang disediakan, kami boleh membantu pengunjung membeli tiket penerbangan dengan lebih mudah dan cepat,” katanya. – UTUSAN










