Aliran masuk asing berterusan bantu lonjakan ringgit - Utusan Malaysia

Aliran masuk asing berterusan bantu lonjakan ringgit

RINGGIT dijangka melemah pada minggu ini susulan pengukuhan nilai dolar Amerika Syarikat. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: MIDF Research menjangkakan aliran masuk asing ke pasaran bon domestik akan berterusan, sekali gus membawa kepada peningkatan ringgit.

Firma penyelidikan itu berkata, pertumbuhan asas dan perkembangan harga yang stabil dijangka menarik lebih banyak dana ke pasaran Asia, termasuk Malaysia.

“Berdasarkan pergerakan hasil cenderung sejajar dengan hasil Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS), kami menjangka hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) akan turut merosot berikutan pasaran mengambil kira penurunan kadar tambahan oleh Rizab Persekutuan (Fed) AS.

“Sehubungan itu, MIDF Research mengunjurkan hasil MGS untuk tempoh 10 tahun akan stabil pada 3.60 peratus pada akhir tahun ini.

“Walaupun terdapat peningkatan pada Ogos 2024 kepada 3.76 peratus, kami masih menjangka hasil MGS untuk tempoh 10 tahun akan susut kepada 3.60 peratus menjelang akhir tahun,” ,” katanya dalam nota penyelidikan.

Selain itu, menurut MIDF Research, pegangan bon Malaysia oleh pelabur asing meningkat kepada RM288.1 bilion pada Ogos 2024, naik daripada RM279.1 bilion pada Julai 2024.

“Jumlah aliran masuk asing ke pasaran hutang Malaysia melonjak kepada RM17.6 bilion dalam tempoh lapan bulan pertama 2024.

“Kenaikan bulanan sebanyak RM9 bilion pada Ogos 2024 sahaja melebihi kenaikan terkumpul sebanyak RM8.7 bilion dalam tempoh tujuh bulan sebelumnya.

“Peningkatan bulanan dalam pegangan asing pada Ogos 2024 adalah yang terbesar sejak Julai 2023,” katanya.

Dalam pada itu, MIDF Research berkata, dengan pegangan asing dalam sekuriti hutang awam dan sukuk meningkat kepada RM273.7 bilion pada Ogos 2024, berbanding RM265.4 bilion pada Julai 2024, nisbah pegangan asing kepada jumlah bon kerajaan terkumpul meningkat kepada 22.6 peratus.

“Paras ini bersamaan dengan paras pada Disember 2023 tetapi masih berada di bawah purata sebelum pandemik sebanyak 23.1 peratus pada 2019.

“Sebaliknya, bahagian bon kerajaan dalam jumlah pegangan asing merosot kepada 95 peratus pada Ogos 2024, berbanding 95.1 peratus pada Julai 2024 berikutan pegangan asing dalam bon korporat Malaysia naik 5.1 peratus bulan ke bulan kepada RM14.4 bilion, berbanding RM13.7 bilion pada Julai 2024,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×