PETALING JAYA: Taliworks Corporation Berhad (TCB), kumpulan infrastruktur dijangka mendapat lonjakan dalam tahun kewangan semasa yang berakhir pada 31 Disember 2024 daripada pembayaran insurans.
Dalam pemfailan di Bursa Malaysia, Taliworks berkata, pembayaran insurans itu berkaitan dengan kos penggantian modul solar di loji solar milik penuh anak-anak syarikatnya.
“Hasil insurans tersebut dijangka diterima bulan ini. Pembayaran insurans sebanyak AS$2.32 juta (RM10.67 juta) yang akan diterima oleh kumpulan tersebut dijangka menyumbang secara positif kepada prestasi kewangan kumpulan bagi 2024.
“Anak syarikat tidak langsung milik penuh TCB, TR CPark Sdn. Bhd. dan TR Sepang Sdn. Bhd. telah menandatangani tiga perjanjian berasingan bulan lepas untuk menerima pembayaran insurans tersebut,” katanya.
Menurut kumpulan itu, Taliworks memulakan tahun kewangan 2024 dengan langkah positif dengan melaporkan keuntungan bersih sebanyak RM15.03 juta untuk suku pertama 2024.
Ia meningkat 49 peratus daripada RM10.06 juta setahun lalu atas kadar bekalan air pukal yang lebih tinggi bagi bahagian rawatan dan bekalan airnya dari 42 sen per meter padu kepada 48 sen per meter padu bermula 1 Januari 2024 dan juga perkongsian hasil yang lebih tinggi daripada syarikat usaha samanya, Grand Sepadu (NK) Sdn. Bhd.
Katanya, ini meskipun hasil untuk suku pertama 2024 menurun 0.2 peratus kepada RM93.33 juta berbanding RM93.53 juta pada suku sama tahun lepas.
Kumpulan tersebut juga telah membayar dividen interim pertama sebanyak satu sen sesaham, berjumlah RM20.2 juta untuk tahun kewangan 2024 pada 28 Jun.
Pada pukul 2.25 petang Jumaat, saham Taliworks diniagakan turun 1.5 sen atau 1.81 peratus kepada 81.5 sen, memberikan ia modal pasaran sebanyak RM1.64 bilion. Saham tersebut telah jatuh 4.12 peratus setakat tahun ini.-UTUSAN










