KUALA LUMPUR: Solarvest Holdings Bhd., penyedia penyelesaian tenaga bersih terbesar di Malaysia, menandatangani usaha sama strategik dengan Agmo Holdings Bhd. untuk membangunkan aplikasi tenaga bersih digital demi kemajuan sektor tenaga bersih.
Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Solarvest, Davis Chong Chun Shiong berkata, usaha sama ini akan memanfaatkan rekod prestasi projek Solarvest yang kukuh dengan kepakaran teknologi Agmo.
“Usaha sama ini juga akan membangunkan penyelesaian digital untuk menyelaraskan dan mengautomasi kitaran hidup projek tenaga bersih.
“Pembangunan yang akan dilakukan dalam beberapa peringkat ini dimulakan dengan penambahbaikan terhadap tawaran semasa Solarvest, termasuk penyelesaian Vestech EcoHomes, ekosistem pengecasan kenderaan elektrik (EV) Powerbee dan pengurusan Sijil Tenaga Boleh Diperbaharui,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan sempena Sidang Kemuncak Tenaga Mampan Antarabangsa ke-6 (ISES) 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini semalam.
Majlis menandatangani tersebut disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Selain itu, Davis berkata, dengan mengubah penyelesaian ini menjadi aplikasi digital, Solarvest berhasrat mengoptimumkan tawaran tenaga bersih dan proses pengurusan projeknya bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk tenaga bersih.
“Sebagai peneraju industri, Solarvest akan menguji penyelesaian inovatif ini untuk memastikan keberkesanannya sebelum dilancarkan ke pasaran yang lebih luas.
“Selepas berjaya dilancarkan, aplikasi-aplikasi ini akan memberi manfaat kepada masyarakat umum dengan meningkatkan kesedaran pembangunan produk dan projek tenaga bersih,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Bukan Bebas dan Ketua Pegawai Eksekutif Agmo Holdings, Tan Aik Keong berkata, pihaknya teruja memulakan kerjasama dengan memanfaatkan kepakaran teknologi mereka untuk memacu revolusi tenaga bersih ke hadapan.
“Inisiatif inovatif dalam sektor tenaga bersih ini menunjukkan komitmen kami untuk memimpin inovasi industri.
“Dengan menggabungkan kepakaran tenaga bersih Solarvest dengan penyelesaian digital kami, platform ini akan menjadikan tenaga bersih lebih mudah diakses dan diuruskan oleh perniagaan dan pengguna, sekali gus menyokong matlamat kelestarian Malaysia,” katanya.-UTUSAN










