Rafe Haneef dilantik CEO baharu MBSB Bank

Rafe Haneef dilantik CEO baharu MBSB Bank

RAFE HANEEF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rafe Haneef telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (GCEO) MBSB Berhad baharu dan akan mengambil peranan tambahan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MBSB Bank, berkuat kuasa 19 Ogos 2024. 

Dengan memimpin kedua-dua kumpulan dan bank, ini memastikan bahawa program transformasi FLIGHT26 mendapat manfaat secara langsung daripada pengawasan strategik dan kepimpinan aktif beliau sepanjang pelaksanaannya.

Pengerusi Kumpulan MBSB, Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad berkata, pelantikan itu adalah langkah penting dalam membina kemajuan yang telah dicapai. 

“Pengalaman luas beliau dalam perbankan Islam bersama dengan kepemimpinan beliau akan menjadi faktor utama ketika kita meneruskan penambahbaikan dalam bidang-bidang penting.

“Ini seperti pertumbuhan akaun simpanan akaun semasa(CASA), peningkatan pulangan atas ekuiti (ROE) dan pembangunan portfolio untuk menarik segmen pelanggan berkualiti tinggi. 

“Kami yakin di bawah kepemimpinannya, MBSB Bank akan terus memberikan nilai kepada pelanggan dan pemegang kepentingan, terutama dalam memanfaatkan sinergi dengan Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF), sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan kompetitif kami di pasaran,” katanya dalam kenyataan.

Jelasnya, sejak menyertai Kumpulan MBSB pada Julai 2023, Rafe telah memainkan peranan penting dalam memacu inisiatif strategik kumpulan. 

“Beliau mengetuai penyelarasan berjaya lebih daripada 170 dasar di antara MBSB Bank dan MIDF, satu langkah penting dalam merealisasikan integrasi kedua-dua institusi tersebut.

“Di bawah kepemimpinannya, strategi FLIGHT26 dirangka dengan tumpuan khusus untuk mengubah kumpulan daripada institusi berasaskan kewangan kepada entiti berasaskan deposit dengan penekanan terhadap pertumbuhan deposit CASA.

“Dalam peranan baharu sebagai CEO MBSB Bank, Rafe akan meneruskan usaha transformasi ini, memastikan bank kekal berada pada trajektori pertumbuhan yang kukuh, dengan fokus pada pertumbuhan yang mampan, prestasi kewangan dan penyelesaian berorientasikan pelanggan.

“Lembaga pengarah dan seluruh keluarga MBSB amat menantikan kepimpinan dan sumbangan berterusan Rafe dalam peranan diperluaskan ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN