PETALING JAYA: WCE Holdings Berhad (WCE Holdings) merekodkan pertumbuhan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) sebanyak RM18.1 juta pada suku pertama tahun kewangan 2025 yang berakhir pada 30 Jun 2024.
Menurut kenyataan, peningkatan 147 peratus daripada RM7.3 juta pada bagi suku sama tahun sebelumnya itu menunjukkan bahawa kumpulan kekal menguntungkan pada tahap operasi.
“Pendapatan kutipan tol juga meningkat sebanyak 93 peratus kepada RM26.1 juta pada suku itu daripada RM13.5 juta pada suku pertama 2024.
“Kumpulan mencatatkan beberapa perkembangan positif dalam suku pertama, termasuk peningkatan ketara sebanyak 115 peratus dalam purata trafik harian bahagian, didorong oleh pembukaan Seksyen 6 (Bandar Bukit Raja Utara – Assam Jawa) dan Seksyen 11 (Beruas – Taiping Selatan) pada FY2024,” katanya.
Bagaimanapun, hasil kumpulan menurun sebanyak RM75.6 juta untuk bagi suku tersebut, jatuh 35 peratus berbanding RM116.0 juta pada suku pertama 2024.
“Ini disebabkan terutamanya oleh aktiviti pembinaan yang lebih rendah selepas dua seksyen tambahan Projek Lebuhraya Pantai Barat (WCE) telah siap dalam tahun kewangan sebelumnya.
“Kumpulan juga mencatatkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM34.6 juta pada suku sama, sedikit lebih tinggi daripada kerugian RM32.2 juta yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.
“Ini terutamanya disebabkan oleh kos faedah yang lebih tinggi yang dikenakan kepada untung atau rugi akibat lebih banyak seksyen yang disiapkan dalam tempoh tersebut,” katanya.
Mengulas mengenai pembukaan seksyen baharu, WCE Holdings berkata, Seksyen 1 (Banting – Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE)) dijadualkan dibuka pada 30 Ogos 2024 dan Seksyen 2 (SKVE – Lebuhraya Shah Alam (SAE)) dijangka dibuka dalam masa terdekat.
“Peningkatan sebanyak 40 peratus juga dicatatkan dalam segmen pembinaan yang berkaitan dengan kerja-kerja pembinaan cadangan akses dari Lebuhraya Pantai Barat ke projek pembangunan bercampur di Kota Seri Langat (Projek Seri Langat).
“Ini termasuk kerja-kerja pembinaan bagi Seksyen 7, Bahagian 2 daripada 2 (Seksyen 7B) Projek WCE yang disebabkan oleh tahap aktiviti pembinaan yang lebih tinggi dalam tempoh tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, bagi Projek WCE, sebuah inisiatif infrastruktur utama sepanjang 233 kilometer dari Banting, Selangor ke Taiping, Perak juga terus mencatat kemajuan.
“Enam daripada sebelas seksyen kini telah dibuka, dengan pembukaan Seksyen 11 menandakan penyempurnaan penjajaran di Perak.
“Pembukaan baru-baru ini telah meningkatkan jumlah trafik dengan ketara, dengan puncak trafik semasa musim perayaan Raya pada April 2024 mencapai 350,000 kenderaan setiap hari.
“Kumpulan menjangkakan peningkatan selanjutnya apabila Seksyen 1 dan 2 dibuka dalam masa terdekat,” katanya.-UTUSAN










