PETALING JAYA: MYMBN Berhad (MYMBN), syarikat sarang burung terkemuka Malaysia mengambil langkah besar ke hadapan dengan membuka kilang pemprosesan sarang burung di Taman Perindustrian China-Malaysia Qinzhou, China yang didaftarkan di bawah Guangxi Nan Yang Birdnest (M) Co., Ltd.
Ketua Pegawai Eksekutif MYMBN, Lavernt Chen Vun Wo berkata, pihaknya berbesar hati menjadi syarikat sarang burung Malaysia pertama yang menubuhkan kilang pemprosesan di Taman Perindustrian China-Malaysia Qinzhou.
“Kilang itu dijangka mampu memproses sehingga lima tan sarang burung rumah bagi sarang burung boleh dimakan mentah belum bersih (RUC-EBN) setiap tahun.
“Kilang ini melalui proses yang ketat termasuk pemilihan, pembersihan dan sterilisasi untuk menghasilkan produk berkualiti tinggi.
“Ini juga membolehkan MYMBN mengawal keseluruhan rantaian bekalan, dari pengimportan hingga pemprosesan dan penjualan di pasaran China yang semakin berkembang,” katanya dalam kenyataan.
Jelasnya, usaha itu mampu memperkukuh kedudukan MYMBN di pasaran China dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi kedua-dua negara.
“Pelaburan MYMBN di China merupakan satu langkah strategik yang penting untuk pertumbuhan jangka panjang syarikat. Dengan kemudahan pemprosesan baharu ini, MYMBN berada pada kedudukan yang baik untuk menjadi pemain utama dalam industri sarang burung di peringkat global.
“Pada masa sama, ini juga membolehkan kami mengambil bahagian secara langsung dalam industri sarang burung edible yang berkembang pesat di China.
“Dengan itu, ia dapat mengurangkan kebergantungan kami kepada pengimport lain yang diluluskan kerana kami kini mewakili salah satu daripada 18 pengimport RUC-EBN yang diluluskan di sana,” katanya
Selain membekalkan RC-EBN kepada pemborong dan peruncit domestik, beliau berkata, MYMBN turut bekerjasama dengan syarikat-syarikat di taman perindustrian yang pakar dalam produk sarang burung sedia untuk diminum.
“Ini juga bertujuan dalammenyediakan sumber bahan mentah premium untuk pemprosesan nilai tambah lanjut dan pembangunan produk serta terlibat dalam penjualan semula RC-EBN melalui beberapa saluran, termasuk pasar raya Freshippo di China.
“Kami berbangga untuk membuka pintu kami dan berkongsi proses ketat yang terlibat dalam menghasilkan produk RC-EBN premium kami.
“Dengan menawarkan pandangan ini ke dalam operasi kami, kami ingin meningkatkan pemahaman dan kepercayaan terhadap jenama serta mengukuhkan kedudukan kami sebagai pembekal sarang burung utama Malaysia,” katanya.
Tambahnya, selain daripada pengembangan ke dalam segmen RC-EBN di China, MYMBN juga sedang berusaha untuk mengeluarkan produk sarang burung sedia untuk diminum halal di Malaysia.
“Untuk mengakses kumpulan pembekal yang lebih besar untuk sarang burung mentah, MYMBN sedang dalam proses menubuhkan tiga pusat pengumpulan sarang burung di Malaysia Timur, masing-masing di Sibu, Sarawak dan Tawau” katanya.-UTUSAN









