PETALING JAYA: Malayan Flour Mills Berhad (MFM) terus mencatatkan keuntungan ketara sebanyak RM18.8 juta dalam suku kedua yang berakhir pada 30 Jun 2024 daripada kerugian bersih RM2.0 juta dalam suku yang sama tahun sebelum.
MFM mengisytiharkan dividen interim sebanyak 1.5 sen sesaham kepada pemegang saham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 dengan tarikh ex-dividen pada 12 September 2024 dan tarikh pembayaran pada 27 September 2024.
Pembayaran dividen sebanyak RM18.6 juta ini bersamaan dengan 32.8 peratus daripada keuntungan bersih separuh pertama 2024 yang boleh diagihkan kepada pemegang saham.
Menurut kenyataan, keuntungan bersih itu didorong oleh peningkatan margin keuntungan dalam segmen Perdagangan Tepung dan Bijirin (FGT) kumpulan, terutamanya di Malaysia dan Vietnam.
“Pada suku ini, segmen FGT bersama dengan perniagaan Makanan Akuakultur mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM21.5 juta, berbanding kerugian selepas cukai sebanyak RM1.3 juta pada suku yang sama tahun lepas, walaupun dengan hasil yang relatif mendatar sebanyak RM751.9 juta.
“Prestasi kukuh ini terutamanya didorong oleh margin yang lebih baik akibat kos penggunaan gandum yang lebih rendah.
“Bagi segmen Integrasi Unggas (PI) di bawah syarikat usaha sama 51 peratus milik Dindings Tyson Sdn. Bhd. (DTSB) menunjukkan peningkatan ketara dalam suku itu dengan PAT sebanyak RM8.4 juta, berbanding kerugian RM2.4 juta pada suku sebelumnya,” katanya.
Jelas kumpulan itu, prestasi pemulihan suku ke suku itu adalah hasil daripada peningkatan jumlah jualan dan kos input yang lebih rendah.
“Bagi kerugian dalam suku pertama 2024 sebahagian besarnya disebabkan oleh boikot berterusan terhadap rangkaian makanan segera berasaskan barat sebagai tindak balas terhadap konflik geopolitik di Timur Tengah.
“Bagaimanapun, berbanding dengan suku yang sama tahun lepas, segmen PI mencatatkan keuntungan yang lebih rendah dalam suku kedua 2024 disebabkan oleh pengurangan jumlah jualan, harga jualan yang lebih rendah dan pemberhentian subsidi ayam.
“Berdasarkan perakaunan ekuiti, bahagian keuntungan MFM daripada PI menurun sebanyak 23.2 peratus kepada RM4.3 juta berbanding RM5.6 juta dalam suku yang sama tahun sebelumnya,” katanya.
Menurut kumpulan itu, hasil positif daripada segmen FGT dan PI sebahagiannya diimbangi oleh prestasi syarikat bersekutu kumpulan sebanyak 30 peratus iaitu PT Bungasari Flour Mills di Indonesia yang melaporkan kerugian selepas cukai sebanyak RM11.7 juta,
“Kerugian yang lebih kecil ini adalah disebabkan oleh pasaran makanan yang menguntungkan dan aset cukai tertunda yang lebih tinggi yang diiktiraf.
“Bahagian kerugian daripada PT Bungasari Flour Mills di Indonesia berjumlah RM3.5 juta dalam suku kedua 2024, berbanding kerugian sebanyak RM8.8 juta dalam suku yang sama tahun sebelumnya,” katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi Eksekutif merangkap Pengarah Urusan Malayan Flour Mills Berhad, Teh Wee Chye berkata, kumpulan masih berbesar hati dengan peningkatan ketara dalam segmen PI mereka berbanding suku sebelumnya.
“Momentum positif ini, walaupun terdapat ketidaktentuan akibat krisis geopolitik, menunjukkan bahawa daging ayam masih menjadi pilihan utama di negara ini.
“Bagaimanapun, kami menyedari jurang prestasi dalam segmen PI kami, dan untuk menanganinya, kami akan terus meneroka pasaran baharu untuk menjual ayam yang diproses, baik di dalam mahupun di luar negara bagi memastikan pertumbuhan yang mampan.
“Bagi segmen FGT, kami akan terus memberi tumpuan kepada meningkatkan kecekapan dan penggunaan kapasiti kilang tepung, memastikan bekalan bahan mentah yang boleh dipercayai dan operasi yang tidak terganggu untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap tepung di Malaysia, Vietnam dan Indonesia,” katanya. – UTUSAN










