PETALING JAYA: Ain Medicare Sdn. Bhd. berjaya menembusi pasaran Taiwan dengan mengeksport produk Sodium Chloride Irrigation dan Sodium Chloride IV Infusion dengan nilai RM3.10 juta, berikutan krisis bekalan domestik Taiwan bermula bulan Mei tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Ain Medicare, Redziwan Saari berkata, pihaknya berterima kasih kepada pejabat Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Taipei yang telah menghubungkannya dengan pengimport yang berpangkalan di Taiwan.
Katanya, perkara tersebut dilakukan menerusi sesi padanan perniagaan secara maya (eBizmatch) yang memudahkan Ain Medicare untuk berhubung dengan pihak yang berdaftar dengan Taiwan FDA.
“Justeru, segala urusan perjanjian dan pembekalan dapat dilakukan dengan segera demi memastikan pembekalan stok kepada pesakit-pesakit terbabit dapat diteruskan
“Setakat ini, Ain Medicare telah menghantar empat kontena produk Sodium Chloride Irrigation dan Sodium Chloride IV Infusion pada bulan Jun dan dijangka enam lagi kontena akan dihantar pada bulan Ogos 2024,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh MATRADE.
Beliau berkata, pihaknya sedang dalam perbincangan dan komited untuk meneruskan pembekalan baharu secara berperingkat sehingga akhir tahun 2024.
Ain Medicare merupakan satu-satunya syarikat tempatan yang mengilang dan mengedarkan produk farmaseutikal seperti larutan intravena, larutan irigasi, larutan hemodialisis dan larutan hemodialisis peritoneal.
Sejak penubuhannya pada tahun 1993, produk-produk Ain Medicare telah digunakan secara meluas di semua hospital awam, hospital swasta dan pusat-pusat dialisis di seluruh Malaysia.
Dengan kemudahan yang disediakan oleh MATRADE, Ain Medicare juga telah berjaya menembusi beberapa pasaran luar negara seperti Arab Saudi, United Arab Emirates, New Zealand, Singapura dan beberapa negara di rantau ini.
Pesuruhjaya Perdagangan MATRADE di Taipei, Aninawati Saleh berkata, sumber statistik Kastam Taiwan menunjukkan bagi tempoh Januari hingga April 2024, Taiwan telah mengimport sejumlah AS$4.8 juta (RM20.9 juta) produk perubatan dari Malaysia.
“Ini melibatkan peningkatan sebanyak 96.9 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas,” ujarnya.
Statistik tersebut menunjukkan keyakinan tinggi pengimport Taiwan terhadap produk perubatan Malaysia.
Sehingga kini, MATRADE Taipei telah menerima banyak pertanyaan daripada pengimport Taiwan yang berminat untuk mengimport produk berkaitan perubatan dan peranti perubatan dari Malaysia.
Pada tahun 2023, jumlah dagangan Malaysia dalam industri penjagaan kesihatan bernilai AS$11.1 bilion (RM48.5 bilion) dengan eksport produk penjagaan kesihatan berjumlah AS$6.81 bilion (RM29.8 bilion), manakala import berjumlah AS$4.29 bilion (RM18.7 bilion).-UTUSAN









