House Of She ‘bangkit’ selepas PKP

House Of She ‘bangkit’ selepas PKP

VIVIANA Ab. Razak (kiri) mahu menjadi inspirasi buat golongan wanita supaya tidak mudah menyerah kalah jika ingin bergelar seorang usahawan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIAPA sangka ketika banyak perniagaan terjejas dan ada yang terpaksa gulung tikar kesan penularan wabak pandemik Covid-19, namun tidak bagi House Of She yang mengusahakan perniagaan salon dan spa di Jalan Lim Hoe Lek di Kuantan, Pahang. 

Sebelum pandemik, perniagaan itu yang bermula pada 2106 hanya dibuat secara kecil-kecilan dengan menyewa ruangan kecil di Jalan Teluk Sisek di Kuantan. 

Sewaktu bermula, ia diusahakan seorang diri oleh pemiliknya, Viviana Ab. Razak yang pada ketika itu dialah bos, pekerja dan dia jugalah pergi ke rumah pelanggan jika ada permintaan perkhidmatan spa di rumah.

Bagi Viviana, demi memastikan perniagaannya kekal bertahan, dia tidak berputus asa kerana mahu membuktikan bahawa kejayaan pasti datang kepada mereka yang berusaha walaupun pada awalnya menempuh pelbagai cabaran.

“Covid-19 kejutan paling besar kepada golongan usahawan dan peniaga apabila banyak perniagaan ketika itu terkesan selepas kerajaan mengumumkan perintah kawalan pergerakan (PKP). 

“Ia bukan mudah untuk meneruskan strategi perniagaan dirancang apatah lagi kelangsungan hidup, namun usahawan harus kekal positif dan tidak berputus asa.

“Bila situasi ini berlaku, kita perlu mengambil tindakan segera serta melakukan banyak perubahan terutama melibatkan strategi perniagaan. Saya di House Of She mengatur strategi baharu bagi memulihkan perniagaan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Bercerita lanjut, Viviana berkata, perniagaannya bangkit selepas PKP dan daripada hanya ruang kecil di Jalan Teluk Sisek, dia akhirnya mampu menyewa sebuah kedai di Jalan Lim Hoe Lek, berhadapan Stadium Darul Makmur di Kuantan. 

“Saya tak jangka seperti ini kerana selepas PKP saya ambil risiko meneruskan perniagaan tatkala banyak sektor ekonomi terjejas teruk dan ekonomi rakyat pun teruk. 

“Saya beranikan diri dan tidak putus asa. Berkat usaha saya, alhamdulillah, suatu di luar jangka berlaku apabila jualan di House Of She meningkat 100 peratus berbanding sebelum pelaksanaan PKP.

“Setiap hari secara purata kira-kira 10 pelanggan datang ke spa dan salon saya yang dibuka pukul 10 pagi hingga 6 petang,” katanya yang ketika ini mempunyai dua pekerja tetap dan tiga sambilan.

Beliau berkata, salon dan spa merupakan bidang servis dan perkhidmatan yang sentiasa ada permintaan serta tidak luput.

Menurutnya, bidang ini perlu selari perkembangan teknologi semasa supaya ia kekal bertahan dek perubahan zaman. 

“Di House Of She memang kita guna teknologi semasa, kita di sini sudah pakai peralatan seperti mesin laser terkini. Kita tidak boleh cakap perkhidmatan urut misalnya benda lama, sekarang ini sudah ada mesin untuk bantu urut perut. Kita perlu menggunakan teknologi itu dan House Of She tidak akan ketinggalan. 

“Berniaga sentiasa ada cabaran, sekarang zaman digital, bukan sahaja House Of She malah semua perniagaan perlu selari dengan peredaran zaman yang berlaku,” katanya. 

Viviana berkata, House Of She menawarkan perkhidmatan spa dan salon pada harga bermula RM38 sehingga RM388. 

“Pada harga RM38, pelanggan diberikan perkhidmatan antaranya mandi jakuzi, manicure dan cuci serta rawatan rambut. Servis paling mahal spa menyeluruh membabitkan rawatan lapan dalam satu.

“Selain spa dan salon, kita turut menawarkan perkhidmatan selenggara pendingin hawa dan elektrikal di bawah Vee Electrical and Engineering,” ujarnya.

Beliau berkata, House Of She merupakan spa dan salon berkonsepkan muslimah patuh syariah dan menjadi pusat setempat untuk rawatan daripada rambut hingga kaki.

“House Of She merupakan one stop centre untuk para wanita. Kita buka sahaja menawarkan perkhidmatan spa dan salon tetapi berkongsi inspirasi dan menjadi tempat berehat dan tenangkan diri,” katanya. 

Beliau berkata, sudah menjadi adat berniaga, seperti air di lautan, ada pasang dan ada surut, di dasarnya tersimpan seribu harapan demi meraih sebuah impian.

“Ini kerana, pada era globalisasi yang semakin membangun ini, persaingan dalam bidang keusahawanan semakin sengit. Hakikatnya untuk menjadi usahawan berjaya itu bukanlah sesuatu yang mudah untuk dicapai dengan sekelip mata jika tiada semangat juang tinggi serta kekentalan jiwa dalam diri untuk merentasi arus gelombang dunia komersial yang penuh cabaran ini.

“Di House Of She saya mahu menjadi inspirasi buat wanita tidak kira tua atau muda. Jika hendak berniaga, kita sebagai wanita perlu berani dalam menghadapi cabaran semasa. Kita kena percaya pada diri, jangan pilih untuk jatuh sebaliknya sentiasa pilih untuk bangkit,” tegasnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×