Hong Leong Bank catat untung bersih RM4.19 bilion - Utusan Malaysia

Hong Leong Bank catat untung bersih RM4.19 bilion

Kevin Lim (kanan) bersama Ketua pegawai kewangan Hong Leong Bank, Malkit Singh Maan (kiri) ketika pembentangan keputusan kewangan penuh 2024 Hong Leong Bank di Menara Hong Leong Bank, Bukit Damansara di sini semalam. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Hong Leong Bank Berhad (HLB) mencatatkan untung bersih sebanyak RM4.19 bilion bagi keseluruhan tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024, naik berbanding RM3.82 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

Bank merekodkan hasil sebanyak RM5.77 bilion bagi tempoh yang sama daripada RM5.68 bilion pada tahun lalu.

Bagi suku keempat pula, HLB melaporkan pertumbuhan untung bersih berjumlah RM1.03 bilion berbanding RM864.7 juta bagi suku sama tahun sebelumnya, manakala hasil meningkat RM1.47 bilion daripada RM1.31 bilion.

Lembaga Pengarah telah mengisytiharkan dividen akhir sebanyak 43. sen sesaham, menjadikan jumlah dividen kepada 68 sen sesaham untuk tahun kewangan 2024, peningkatan sebanyak 9 sen berbanding tahun sebelumnya.

Ini bermakna nisbah pembayaran dividen yang lebih tinggi sebanyak 33.6 peratus.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif HLB, Kevin Lam berkata, HLB mencapai prestasi kewangan yang kukuh di tengah-tengah ekonomi makro dan persekitaran operasi yang mencabar.

“Pencapaian ini adalah hasil daripada pelaksanaan pelan strategik tiga hingga lima tahun kami bersama-sama dengan pertumbuhan pinjaman/pembiayaan yang membanggakan.

“Nisbah akaun semasa akaun simpanan (CASA) yang lebih baik, kualiti aset yang sihat serta mengekalkan kedudukan pembiayaan dan kecairan yang berhemat,” katanya pada taklimat media mengenai keputusan kewangan 2024 di Menara Hong Leong di sini, semalam.

Beliau berkata, HLB mencatatkan pertumbuhan kukuh sebanyak 9.9 peratus tahun ke tahun dalam keuntungan selepas cukai disokong oleh pertumbuhan pinjaman/pembiayaan yang kukuh, metrik kualiti aset yang lebih baik dan sumbangan sihat daripada syarikat bersekutu kami.

“Sejajar dengan itu, kami telah mencapai pulangan ke atas ekuiti (ROE) yang kukuh sebanyak 11.8 peratus.

“Portfolio pinjaman kasar dan pembiayaan kami meningkat 7.3 peratus tahun ke tahun kepada RM194.9 bilion, disumbangkan oleh pengembangan dalam segmen gadai janji, pinjaman kereta, perusahan kecil dan sederhana (PKS) dan perbankan komersial kami serta pasaran luar negara utama,” ujarnya.

Sementara itu, Hong Leong Financial Group Berhad (HLFG) pula mencatatkan untung bersih sebanyak RM3.19 bilion bagi keseluruhan tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024, berbanding RM2.88 bilion yang bagi tahun sebelumnya.

Bagi suku keempat, HLFG melaporkan untung bersih sebanyak RM806 juta daripada RM664 juta pada suku sama tahun sebelumnya.

Dalam pada itu, Hong Leong Capital Berhad (HLCB) merekodkan untung bersih sebanyak RM97.9 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024, meningkat berbanding RM49.8 juta pada tahun kewangan 2023. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN