SEBAGAI pembeli, sudah pasti kita mahukan perumahan yang memberikan pakej yang lengkap dari segi harga rumah dan kemudahan yang disediakan oleh pemaju.
Oleh itu, walaupun berada di dalam segmen perumahan mampu milik, kebanyakan pemaju menawarkan fasiliti yang sangat baik dan pelbagai setanding dengan rumah-rumah mewah lain.
Perubahan sebegini memberikan ruang kepada pembeli rumah pertama khususnya orang muda dalam memastikan mereka mendapat fasiliti dan keterjangkauan yang baik walaupun menetap di perumahan rumah mampu milik.
Pegawai perhubungan awam, Amira Natasya Abdul Hamid, 25, berkata, perumahan mampu milik di bandar merupakan satu keperluan yang penting, terutama bagi golongan bujang dan keluarga muda yang ingin memulakan kehidupan baharu.
Menurutnya, pemilihan utama sebagai pembeli di usia muda sudah pasti fasiliti yang diberikan oleh pihak pemaju.
“Fasiliti yang baik dan berdekatan dengan bandar memang menjadi pilihan saya kerana sudah pasti memudahkan kehidupan seharian saya.
“Hidup di bandar bukan sekadar memikirkan tentang rumah, tetapi juga perlu mengambil kira kos lain seperti makanan, pengangkutan dan keperluan anak-anak.
“Oleh itu, jika mendapat rumah mampu milik dengan kelengkapan fasiliti yang lengkap sememangnya pakej lengkap buat orang muda. Tempat tinggal yang berdekatan dengan kawasan lebuh raya dan pengangkutan awam menjadi nilai tambah yang sangat penting juga kepada saya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, usahawan, Mohammad Haikal Abdul Aziz, 26, berkata, fasiliti semakin relevan menjadi penentu dalam membuat keputusan pembelian rumah.
“Fasiliti seperti gimnasium, kolam renang dan ruang rekreasi dapat menjimatkan perbelanjaan bulanan kerana tidak perlu untuk pergi ke pusat tertentu untuk melakukan aktiviti itu.
“Penawaran fasiliti sebegitu bakal mempunyai impak yang besar kepada penduduk kerana dapat merapatkan jurang kelas perumahan kerana fasiliti seperti itu selalunya sinonim dengan perumahan kondomunium,” ujarnya.
Dalam pada itu, pekerja swasta, Nazrul Hakimi Sufarizal, 24, berkata, kemudahan akses ke tempat kerja dan kemudahan awam adalah antara perkara yang dititikberatkan dalam pemilihan membeli rumah.
“Walaupan fasiliti perumahan menjadi pilihan saya namun jika kawasan perumahan itu tidak berdekatan dengan lokasi strategik seperti kawasan transit aliran ringan (LRT) atau transit aliran deras (MRT) mungkin akan menggugat keputusan itu.
“Bagi saya, keterjangkauan kepada kemudahan sebegini sama penting dengan fasiliti yang ditawarkan oleh pemaju kerana jelas dapat menjimatkan kos dan memudahkan mobiliti penduduk,” katanya.-UTUSAN










