Bursa Malaysia kembali susut selepas catat paras tertinggi - Utusan Malaysia

Bursa Malaysia kembali susut selepas catat paras tertinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bursa Malaysia kehilangan lebih 20 mata semalam selepas mencatatkan paras tertinggi dalam tempoh hampir empat tahun kelmarin, kesan diasak aktiviti pengambilan untung dan prestasi lemah semalaman di Wall Street.

Dalam dagangan semalam, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dibuka 2.29 mata lebih rendah kepada 1,672.95 berbanding penutup 1,675.24 kelmarin.

Indeks kemudian ditutup rendah, susut 21.69 mata kepada 1,653.55.

Pasaran meluas menyaksikan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 851 berbanding 316 manakala 458 kaunter tidak berubah, sebanyak 893 tidak diniagakan dan 108 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 3.67 bilion unit bernilai RM3.96 bilion daripada 3.96 bilion unit bernilai RM4.65 bilion pada Rabu.

Antara saham wajaran tinggi, Maybank turun 12 sen kepada RM10.74, Public Bank susut 11 sen kepada RM4.69, CIMB merosot 34 sen kepada RM8.04, manakala Hong Leong menokok 12 sen kepada RM21.22, dan RHB Bank turun 0.06 sen kepada RM6.10.

Bagi kalangan kaunter paling aktif, Cape EMS Berhad turun 0.05 sen kepada 3.70 sen, Key Alliance Group Berhad kekal kepada 0.10 sen,S P Setia Berhad turun 0.50 sen kepada 1.11 sen, Armada turun 0.30 sen kepada 5.40 sen dan Public Bank Berhad turut turun 1.10 sen kepada 4.84 sen.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, kenaikan yang mendadak kelmarin sedikit sebanyak memberi membuka ruang kepada pengurus pasaran menjalankan aktiviti pengambilan untung.

“Ini memandangkan data inflasi di AS yang bakal diumum malam esok (malam ini) boleh memberi risiko kepada pasaran saham.

“Buat masa ini, tanggapan pengurangan kadar faedah di AS pada September nanti menjadi seolah-olah sebagai sesuatu yang begitu pasti bakal terjadi.

“Bagaimanapun, hakikatnya, sebarang kemungkinan boleh berlaku sekiranya data inflasi di AS kekal tinggi,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Jelas Afzanizam, rata-rata penganalisis ekonomi menjangkakan kadar inflasi di AS pada Julai meningkat kepada 2.6 peratus berbanding Jun iaitu 2.5 peratus berdasarkan bancian yang dibuat.

“Disamping itu, syarikat NVDIA yang mengumumkan keputusan kewangannya kelmarin menimbulkan sedikit kebimbangan terhadap pasaran kecerdasan buatan (AI) yang dilihat kenaikan permintaan yang begitu drastik.

“Ini berikutan jangkaan yang begitu positif terhadap sektor tersebut. Oleh itu, buat masa terdekat, peserta pasaran dilihat dalam mod berhati-hati dan sebarang peluang untuk mengambil untung akan dimanfaatkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN