PETALING JAYA: AGAPE ATP Corporation (ATPC) melalui anak syarikatnya, ATPC Green Energy Sdn. Bhd. (ATPC Green Energy) menjalin kerjasama strategik dengan Phoenix Green Energy Sdn. Bhd. (PGE) untuk mempercepatkan pembangunan dan pengkomersilan penyelesaian tenaga solar termaju di Malaysia.
Perkongsian itu menggariskan komitmen ATPC untuk mengembangkan portfolio tenaga hijau dan memperkukuh inisiatif alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) mereka.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Global ATPC, Prof Datuk Seri Dr How Kok Choong berkata, kerjasama itu penting bagi ATPC Green Energy dalam berusaha meluaskan penawaran tenaga hijau mereka dan meningkatkan impak terhadap alam sekitar.
“Dengan bekerjasama dengan Phoenix Green Energy, kami bukan sahaja memajukan teknologi solar tetapi juga mengukuhkan komitmen ESG kami.
“Perkongsian ini meletakkan kami untuk menyampaikan penyelesaian inovatif yang sejajar dengan matlamat kemampanan global dan memacu pertumbuhan jangka panjang syarikat kami,” katanya dalam kenyataan.
Melalui perkongsian itu, ATPC Green Energy dan PGE akan menggabungkan kepakaran mereka membangunkan produk solar berkecekapan tinggi, memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk tenaga boleh diperbaharui di Malaysia dan rantau ASEAN.
Sementara itu, Naib Presiden Phoenix Green Energy, Heng Huachuin berkata, kerjasama itu mewakili peluang penting untuk berinovasi dalam ruang tenaga suria.
“Bersama-sama, kami bersedia menyampaikan penyelesaian yang bukan sahaja memenuhi keperluan tenaga pelanggan kami, tetapi juga menyumbang kepada masa depan yang lebih mampan dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar,” katanya. – UTUSAN









