Pelabur asing beli ekuiti tempatan sebanyak RM478.2 juta 

Pelabur asing terus beli ekuiti tempatan RM478.2 juta minggu lalu

BURSA Malaysia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pelabur asing terus beli ekuiti tempatan minggu kedua sebanyak RM478.2 juta 

 

ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI

[email protected]

PETALING JAYA: Pelabur asing terus membeli ekuiti tempatan di Bursa Malaysia untuk minggu kedua berturut-turut, dengan jumlah keseluruhan bernilai RM478.2 juta pada minggu lalu.

MIDF Research berkata, sebahagian besar daripada aliran masuk ini, berjumlah RM389.2 juta, berlaku pada hari Khamis apabila Bank Negara Malaysia (BNM) memutuskan untuk mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 3.00 peratus selepas mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC).

“Palarasan terakhir kepada OPR adalah peningkatan daripada 2.75 peratus kepada 3.00 peratus pada Mei 2023 dan BNM telah mengekalkan kadar rujukan ini tidak berubah melalui tujuh mesyuarat MPC berturut-turut,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Menurut firma penyelidikan itu, tiga sektor utama yang dibeli bersih oleh pelabur asing adalah pembinaan (RM198.2 juta), utiliti (RM116.1 juta) dan produk dan perkhidmatan industri (RM111.8 juta).

“Sektor yang mereka jual bersih pula adalah produk  dan perkhidmatan pengguna (RM92.7 juta), tenaga (RM33.4 juta) dan penjagaan kesihatan (RM21.9 juta).

“Institusi tempatan beralih kepada penjualan bersih ekuiti tempatan berjumlah RM318.5 juta selepas tiga minggu berturut-turut membeli bersih,” jelasnya.

Dalam pada itu, MIDF Research berkata, peniaga tempatan kekal sebagai penjual bersih untuk minggu kedua berturut-turut dengan jualan yang mencapai RM159.8 juta.

“Minggu lalu, peniaga tempatan mengalami penurunan sebanyak 1.3 peratus dalam purata jumlah dagangan harian (ADTV), manakala institusi tempatan mengalami kenaikan sebanyak 10.9 peratus dan pelabur asing melihat peningkatan sebanyak 24.7 peratus dalam ADTV,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×