PETALING JAYA: Pelabur asing kembali menjual saham domestik bernilai RM423.5 juta minggu lalu, menamatkan tiga minggu pembelian bersih mereka di Bursa Malaysia, menurut MIDF Research.
MIDF Research berkata, Selasa merupakan satu-satunya hari dengan aliran masuk asing bersih berjumlah RM151.1 juta, sementara hari-hari lain minggu tersebut menyaksikan pengeluaran dana asing dari pasaran.
Katanya, aliran keluar terbesar berlaku pada hari Khamis berjumlah RM371.0 juta.
“Pelabur asing hanya membeli bersih tiga sektor minggu lalu iaitu hartanah (RM43.9 juta), utiliti (RM42.2 juta) dan pembinaan (RM6.5 juta).
“Tiga sektor utama yang dijual bersih adalah teknologi (RM107.7 juta), produk dan perkhidmatan pengguna (RM87.7 juta) serta produk dan perkhidmatan industri (RM80.8 juta),” katanya dalam satu nota penyelidikan.
Jelas firma penyelidikan itu, institusi tempatan dan peruncit tempatan merupakan penyokong bursa tempatan minggu lalu, menghentikan tempoh penjualan bersih mereka sebelum ini.
“Institusi tempatan membeli bersih RM256.4 juta selepas menjual dalam dua minggu sebelumnya,” katanya.
Sementara itu, peruncit tempatan mengakhiri tempoh tiga minggu penjualan bersih, membeli RM167.0 juta minggu lalu.
Purata jumlah dagangan harian (ADTV) menunjukkan penurunan di kalangan peruncit tempatan (27.7 peratus), institusi tempatan (29.4 peratus) dan pelabur asing (35.2 peratus).-UTUSAN










