PETALING JAYA: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menyasarkan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) edisi ke-20 tahun ini mencapai transaksi jualan sebanyak RM3.2 bilion.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE (Akselerasi Eksport), Abu Bakar Yusof berkata, MIHAS ke-19 tahun lalu berjaya mencatat jualan sebanyak RM3.2 bilion, melebihi sasaran awal RM2.5 bilion iaitu sebanyak 28 peratus.
Katanya, seramai 40,000 pelawat dan delegasi perdagangan dijangka akan hadir ke MIHAS 2024 yang bakal menampilkan 2,000 reruai daripada 45 buah negara seluruh dunia termasuk Malaysia.
“Pencapaian jualan pada MIHAS 2023 amat membanggakan kerana ia membuktikan bahawa MIHAS masih kekal menjadi platform halal global yang terulung meskipun penganjurannya menghampiri dua dekad,” katanya dalam temubual melalui emel.
MIHAS 2024 akan berlangsung pada 17 hingga 20 September ini di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.
Sementara itu, beliau berkata, sejak diperkenalkan pada tahun 2004, MIHAS telah berjaya membantu lebih daripada 9,000 syarikat tempatan untuk memperkenalkan produk mereka ke pasaran antarabangsa.
Menurutnya, MIHAS telah menyokong syarikat tempatan terutamanya perusahan kecil dan sederhana (PKS) menembusi pasaran antarabangsa dengan memberikan peluang perdagangan melalui program flagship MIHAS yang dikenali sebagai Program Penyumberan Antarabangsa (INSP).
“INSP merupakan komponen utama dalam MIHAS yang bertujuan untuk menghubungkan pembeli antarabangsa dan pengeksport Malaysia.
“Menerusi 46 pejabat cawangan di seluruh dunia, MATRADE akan mengenal pasti pembeli berpotensi dan melakukan padanan perniagaan. Program ini membantu menggalakkan hubungan perdagangan antarabangsa, sekali gus meningkatkan kedudukan Malaysia dalam pasaran halal global,” ujarnya.
Beliau berkata, sehingga tahun 2022, MATRADE berjaya membantu lebih dari 8,000 perusahan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan 5,586 pembeli antarabangsa menerusi platform INSP dan mencapai lebih RM11 bilion jualan dalam aktiviti tersebut.
“MIHAS 2023 telah menghubungkan 813 syarikat Malaysia dengan 501 pembeli antarabangsa daripada 44 buah negara yang mengambil bahagian dalam INSP.
“Antara produk-produk yang diketengahkan melibatkan produk pertanian, makanan dan minuman, bahan ramuan, kosmetik dan penjagaan diri, farmaseutikal, perubatan, fesyen santun dan gaya hidup serta lain-lain lagi,” jelasnya.-UTUSAN










