PETALING JAYA: Duwan Food, jenama produk makanan sedia untuk dimakan milik bumiputera, RichGroup Intelligence Advisor Sdn. Bhd. kini mendapat permintaan yang tinggi daripada pelanggan setelah menerima sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 1 Mei 2024.
Menurut pengasasnya, Datuk Mohd Radzuan Abdullah, pengiktirafan sijil halal yang diterima mampu untuk menambahkan keyakinan pelanggan terhadap jenama makanan daripada Duwan.
“Pelanggan pada masa kini sangat mementingkan makanan yang mereka makan. Oleh itu, pengiktirafan sijil sangat penting bukan sahaja kepada pengeluar tetapi kepada pelanggan juga.
“Produk Duwan menggunakan teknologi pembukusan makanan secara retort (TDS) yang mampu mengekalkan kesegarannya dan rasa tanpa memerlukan pembekuan, penyahbekuan, penyejukan, pengeringan atau penggunaan bahan pengawet dan bahan kimia.
“Penggunaan teknologi itu dapat membuatkan semua produk Duwan mampu bertahan selama dua tahun. Produk yang dipasarkan telah dikilangkan oleh syarikat kami sendiri yang terletak di Jasin, Melaka,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jelasnya, buat masa ini, Duwan memiliki 12 jenis menu makanan sedia untuk dimakan seperti ayam masak merah, ayam percik, daging salai lemak cili api, daging gulai kawah dan banyak lagi.
“Semua ini hanyalah berharga dari RM16.90 bagi Duwan ayam dan RM22.50 bagi Duwan daging.
“Produk ini turut dibekalkan di beberapa rangkaian restoran seperti Richiamo Coffee, Kembara Sufi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Shape, Kopi Mesin dan Felda D’Saji.
Selain itu, syarikat juga sentiasa bersedia untuk mengukuhkan diri dalam pasaran halal secara global dengan menyertai pameran halal antarabangsa.
“Melihat kepada pasaran halal yang semakin berkembang, syarikat melihat potensi penembusan ke dalam pasaran halal bagi negara utama seperti Jepun, China, United Kingdom dan Amerika Syarikat.
Dalam pada itu, Mohd Radzuan turut mengajak mengajak usahawan bumiputera lain untuk mendapatkan sijil halal bagi produk mereka.
“Saya syorkan supaya usahawan untuk mendapatkan pensijilan halal kerana mampu untuk membantu meningkatkan kenyakinan pelanggan.
“Sijil ini sangat penting kerana hari ini pasaran makanan halal berkembang pesat di seluruh dunia dan makanan halal untuk orang Islam sahaja sudah tiada,” ujarnya.-UTUSAN










