PETALING JAYA: AmInvest Research mengekalkan saranan ‘beli’ terhadap Feytech Holdings (Feytech) dengan nilai saksama tidak berubah sebanyak RM1.32 sesaham berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (PE) tahun kewangan 2025 sebanyak 15 kali.
Menurut Aminvestment, pengurusan tertinggi Feytech menegaskan bahawa pengoperasian mereka adalah selari dengan komen semasa pembentangan tawaran awam permulaan (IPO) kepada pelabur.
“Keputusan suku kedua 2024 yang disasarkan pada minggu ketiga bulan Ogos akan bersih tanpa kejutan, kecuali perbelanjaan penyenaraian sekali sebanyak RM3 juta sehingga RM4 juta.
“Suku kedua adalah tempoh sibuk Feytech dengan pengembangan Kilang Kulim 2 dan percubaan produk baharu,” katanya dalam nota penyelidikan.
Bank pelaburan itu berkata, Feytech telah menghantar 450 set tempat duduk bagi Omada 5 dalam suku kedua dan pengurusan mengakui bahawa mungkin terdapat impak volum dari kegagalan gandar belakang yang awal, tetapi tidak dapat diukur.
“Mereka juga menghantar 455 set awal tempat duduk Peugeot 405 dengan pengeluaran stabil sekitar 200 sebulan, manakala Proton S70 bermula dengan sangat perlahan tetapi meningkat pantas selepas pelancarannya dengan permintaan awal melebihi jangkaan dan telah menghantar kira-kira 3,000 set sehingga akhir Jun 2024,” katanya dalam satu nota penyelidikan.
Firma penyelidikan itu menjelaskan, Feytech juga menerima surat penganugerahan untuk KIA Sportage bagi menghasilkan kerusi dan penutup kerusi dengan sasaran pengeluaran besar-besaran pada awal 2025 dengan potensi 5,000 unit setahun pada kadar yang stabil.
“Mereka turut membuat tawaran kompetitif untuk Chery’s Tiggo 7 dan melihat prospek Jaecoo J7 yang semua berada di peringkat awal.
“Kos operasi adalah stabil tanpa turun naik besar, walaupun kenaikan harga diesel akan mempengaruhi kos pengangkutan, tetapi sepatutnya tidak ketara kerana ia kurang dari satu peratus daripada kos operasi,” katanya.
Tambahnya, AmInvest Research menjangkakan keuntungan bersih suku kedua kumpulan itu sebanyak RM14 juta atau peningkatan sebanyak 45 peratus tahun ke tahun, tidak termasuk kos.
“Sepatuh pertama adalah tempoh yang lebih lemah secara bermusim disebabkan oleh penutupan kilang pelanggan Feytech untuk musim perayaan sementara pelancaran model baru biasanya pada separuh kedua tahun ini,” katanya.
Feytech kini didagangkan pada PE tahun kewangan 2025 sebanyak 12.3 kali, iaitu pada diskaun 14 peratus kepada indeks penanda aras Bursa Malaysia, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI).-UTUSAN










