PERBADANAN Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) membangunkan projek perumahan baharu, Aludra Residensi di lokasi strategik Selangor Cyber Valley (SCV), Cyberjaya, Selangor.
Seindah namanya, Aludra Residensi menawarkan 218 unit rumah bandar dua tingkat yang mengguna pakai konsep moden kontemporari serta menonjolkan reka bentuk fasad ‘barn house’ pada binaannya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKNS, Datuk Mahmud Abbas berkata, aura mewah, imej terkini dan elemen mewah yang ditonjolkan pada unit kediaman itu menyebabkan ia ‘laku keras’ sebaik dilancarkan.
Beliau berkata, setakat ini, lebih 60 peratus unit kediaman itu ditempah pelanggan sejak ia dibuka untuk tempahan pada Sabtu lalu.
“Bukan itu sahaja, Aludra Residensi turut dilengkapi pelbagai kemudahan terkini serta persekitaran kondusif yang sesuai dengan keperluan gaya hidup moden masa kini.
“Ia juga lengkap dengan rumah kelab persendirian eksklusif, surau dengan kapasiti 100 jemaah, dewan serbaguna, ruang pejabat, gimnasium trek joging, taman permainan kanak-kanak dan kawasan rekreasi berlandskap serta komuniti berpagar dan berkawal.
“Dengan reka bentuk landskap yang menyeluruh serta kemudahan yang serba lengkap, maka suasana ‘taman’ di Aludra Residensi dilihat terserlah dengan sendirinya,” katanya.
Katanya, Aludra Residensi ditawarkan pada dua varian utama dengan keluasan lantai 1,035 (35’x55’) hingga 1,055 kaki (37’x55) pada harga berpatutan RM555,000 bagi setiap satu tingkat.
Mahmud berkata, projek perumahan itu dijangka siap Disember 2026 dan ia dibangunkan di atas tanah seluas 4.52 hektar bersamaan dengan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM125 juta.
Menurutnya, setiap unit dilengkapi tiga bilik tidur serta dua bilik air dan paling unik, reka bentuk serta pemilihan bahan menekankan ciri-ciri alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
“Ia dibina dengan bahan binaan dan kemasan yang mempunyai kandungan Volatile Organic Compounds (VOC) yang rendah iaitu jenis cat yang dipakai,” katanya.
Lebih penting lagi, Aludra Residensi terletak di lokasi strategik malah, mudah diakses melalui dua lebuhraya utama iaitu Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) dan Lebuhraya KL- Putrajaya (MEX).
Mahmud berkata, lokasi projek ini juga berhampiran beberapa
bandar utama iaitu Cyberjaya hanya sejauh empat kilometer (km), Putrajaya (12km), Kuala Lumpur (35km), Shah Alam (28km) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (26km).
Jelasnya, ia juga dekat dengan beberapa sekolah dan pusat pengajian terkemuka seperti Universiti Multimedia (MMU), Kolej Sains Perubatan Universiti Cyberjaya (CUCMS), Limkokwing Universiti Teknologi Kreatif.
“Malah, lokasinya juga berdekatan dengan Hospital Cyberjaya, Hospital Putrajaya, Hospital Sultan Idris Shah Serdang, balai polis dan bomba serta Stesen KLIA Express Putrajaya.
“Segala kemudahan ini pastinya menjadi elemen penting yang diberi keutamaan oleh bakal pembeli sebelum membuat keputusan untuk membeli kediaman atau hartanah di sini.
“Kemudahan tersebut bukan sahaja memberikan nilai tambah kepada pembeli, tetapi juga meningkatkan nilai hartanah dari semasa ke semasa,” katanya.
Katanya, dengan harganya yang berpatutan, ia menjadi satu tawaran menarik buat mereka yang sedang mencari kediaman selesa memandangkan harga rumah teres di Cyberjaya kini terlalu mahal.
SCV adalah salah satu perbandaran PKNS yang mengandungi pembangunan bercampur merangkumi kediaman, taman industri, komersial dan institusi pendidikan.
Ia juga dilengkapi saluran rangkaian kabel gentian optik berkelajuan tinggi selain peranti pengesanan alam sekitar bagi tujuan indikasi kualiti udara selain kemudahan awam.
Bagi mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai Aludra Residensi dan projek PKNS di SCV, sila hubungi Eksekutif Jualan PKNS di talian 0350220187 atau WhatsApp 60109280187.-UTUSAN










