PETALING JAYA: Pakar kerja tanah dan kejuruteraan awam, Advancecon Holdings Berhad (Advancecon) memeterai usaha sama (JV) merangkap perjanjian pemegang saham dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) untuk membangunkan kuarters buruh berpusat (CLQ) di negeri itu.
Menurut kenyataannya, perjanjian tersebut dibuat melalui anak syarikat milik penuh PKNPk, Perak Equity Sdn. Bhd. (Perak Equity).
Di bawah terma perjanjian itu, anak syarikat milik penuh Advancecon, Advancecon Ventures Sdn. Bhd. akan mengekalkan 70 peratus pegangan dalam syarikat JV, CLQ Silvervalley Sdn. Bhd. (CLQ Silvervalley), manakala Perak Equity akan memegang baki 30 peratus kepentingan.
Perjanjian itu memformalkan peranan dan tanggungjawab kedua-dua pihak dalam pembangunan, pembinaan, operasi, pengurusan dan penyelenggaraan CLQ di atas tanah yang terletak di lokasi strategik di negeri ini.
Advancecon akan menyumbang kepakaran teknikal, jualan dan pemasarannya yang penting untuk pelaksanaan projek JV, memfokuskan pada menaik taraf dan membina CLQ baharu di tanah dan bangunan strategik.
Inisiatif ini menangani peningkatan permintaan daripada pengeluar industri di Perak, menyediakan akses kepada penginapan berkualiti tinggi dan diselenggara dengan baik untuk tenaga kerja mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Advancecon Holdings berkata, Datuk Phum Ang Kia berkata, perjanjian JV ini menandakan peristiwa penting dalam perkongsiannya dengan PKNPk untuk menyampaikan penginapan pekerja berkualiti yang memenuhi keperluan yang semakin meningkat daripada industri yang melabur di Perak.
“Kami berdedikasi untuk memanfaatkan kepakaran kami untuk menyokong pertumbuhan ekonomi negeri dan agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta bekerjasama dalam lebih banyak projek CLQ pada masa hadapan,” katanya.
Tambahnya, JV terbaharu ini susulan kejayaan kerjasama Advancecon dengan PKNPk sejak 2022.
Pada 2023, Advancecon berjaya menyelesaikan kerja-kerja baik pulih dua blok penginapan di Asrama Murni, Jelapang di Perak, sebagai sebahagian daripada fasa perintis kerjasama projek CLQ ini.
Salah satu blok penginapan telah pun diduduki sepenuhnya, memberi perkhidmatan kepada tenaga kerja sebuah syarikat multinasional terkemuka.
Fasa awal kerjasama CLQ kumpulan dengan PKNPk menyasarkan untuk menampung 12,000 pekerja dalam tempoh lima tahun akan datang, membuka jalan kepada pembangunan CLQ selanjutnya untuk mengukuhkan infrastruktur perindustrian negeri.-UTUSAN










