Untung bersih SD Guthrie naik tiga kali ganda RM211j

Untung bersih SD Guthrie naik tiga kali ganda RM211j

MOHAMAD Helmy Othman Basha pada majlis pengumuman laporan kewangan SD Guthrie bagi suku pertama tahun kewangan 2024 di EQ Hotel, Jalan Sultan Ismail di sini, semalam.-UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: SD Guthrie Bhd. mencatatkan keuntungan bersih tiga kali ganda kepada RM211 juta pada suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Mac 2024, berbanding RM69 juta yang dicatatkan tempoh sama tahun lepas disokong oleh pengeluaran tandan buah segar (BTS) yang bertambah baik.

Kumpulan yang sebelum ini dikenali sebagai Sime Darby Plantations itu merekodkan peningkatan sembilan peratus tahun ke tahun dalam pengeluaran BTS dalam tempoh tersebut, disokong oleh peningkatan 33 peratus dalam operasinya di Malaysia. 

Prestasi lebih baik hasil daripada usaha pemulihan intensif, disokong oleh keperluan penyelarasan buruh.

Purata harga minyak sawit mentah (MSM) direalisasikan kumpulan sebanyak RM3,880 setan metrik adalah agak mendatar tahun ke tahun, manakala harga purata isirung sawit direalisasikan sebanyak RM1,940 setan ialah lapan peratus lebih tinggi, berbanding tempoh yang sama sebelumnya.

Hasil bagi suku dalam tinjauan meningkat tujuh peratus kepada 4.34 bilion, berbanding RM4.07 bilion setahun lalu.

Cabang hiliran SD Guthrie, SD Guthrie International mencatatkan keuntungan sebelum faedah dan cukai (PBIT) sebanyak RM121 juta pada suku pertama, meningkat 78 peratus dipacu oleh permintaan volum yang lebih tinggi untuk produk pukal.

Pengarah Urusan kumpulan Datuk Mohamad Helmy Othman Basha berkata, SD Guthrie memulakan tahun ini dengan kukuh, mencatatkan prestasi yang lebih baik dan berjaya memulihkan operasi huluan di Malaysia.

“Dalam dua tahun kebelakangan ini, kami telah mencapai banyak perkara termasuk bebas daripada buruh paksa, diiktiraf untuk standard integriti dan tadbir urus dan menjadi syarikat minyak sawit pertama yang mempunyai sasaran sifar bersih yang disahkan oleh inisiatif Sasaran Berasaskan Sains (SBTi).

“Dengan semua ini, kami berada pada kedudukan yang baik untuk memasuki era baharu untuk SD Guthrie,” tambahnya.

Dalam tempoh terdekat, kumpulan itu menjangkakan harga MSM akan kekal disokong berikutan ketegangan geopolitik yang berterusan dan jangkaan kesan peristiwa cuaca ekstrem di negara pengeluar yang mungkin memberi kesan kepada bekalan minyak sayuran di seluruh dunia.

Penjenamaan semula kepada SD Guthrie dibuat selepas mendapat kelulusan pemegang saham pada 2 Mei lalu. UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×