KUALA LUMPUR: Malaysia boleh keluar daripada perangkap negara pendapatan sederhana dengan meningkatkan tahap teknologi di negara ini dengan menjadi masyarakat berasaskan teknologi, kata Timbalan Menteri Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Liew Chin Tong.
Beliau berkata, pembangunan sesebuah masyarakat tidak boleh berakhir dengan pelaburan, sebaliknya penyerapan teknologi adalah penting supaya negara dapat menuju ke peringkat seterusnya iaitu inovasi.
Katanya, negara tidak boleh bergantung kepada pelaburan langsung asing (FDI) sahaja, walaupun perkara itu adalah penting.
“Jadi, kita perlu memastikan bahawa rangka kerja secara menyeluruh dari ekonomi, industri dan dipacu dari segi teknologi.
“Kerajaan mengamalkan teknologi dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), kami menggunakan perkataan tech-up. Ini maksudkan lebih banyak pendigitalan. Lebih banyak automasi, lebih banyak kercerdasan buatan (AI) dan lebih banyak inovasi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada perbincangan bertajuk Pertumbuhan Ekonomi Dalam Negara Berpendapatan Sederhana: Bagaimana Negara Dapat Keluar Daripada Perangkap Pendapatan Sederhana? di Lanai Kijang di sini semalam.
Beliau berkata, pihaknya yakin dengan dasar yang diperkenalkan di bawah kerajaan Madani mampu untuk membawa Malaysia meningkatkan teknologi semasa ke tahap yang lebih tinggi untuk menjadi masyarakat yang berpacukan teknologi.
“Dengan rangka kerja seperti Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), NIMP 2030, dan Pelan Strategik Semikonduktor yang baru dilancarkan akan membawa Malaysia kepada peralihan hijau dan penambahbaikan teknologi.
“Semoga ini dapat memainkan peranan penting dalam industri semikonduktor global,” ujarnya.
Ketika ditanya jangka masa Malaysia dapat mencapai negara berpendapatan tinggi, Chin Tong berkata, tidak susah untuk mencapai status tersebut mengikut ukuran Bank Dunia jika ringgit mencapai pengukuhan.
“Tetapi, ia bukan sekadar mencapai pendapatan tinggi pada angka sahaja. Ia benar-benar mengenai ekonomi menjadi asas yang sangat dinamik, bertenaga dan berteknologi. Ini bermakna ekonomi kita bukan menjadi pengikut sahaja,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Ekonomi Kumpulan Bank Dunia dan Naib Presiden Kanan Ekonomi Pembangunan, Dr Indermit Gill berkata, Malaysia perlu mengkaji semula dasar negara yang terdahulu ada sama ada bersesuaian dengan masa kini.
Katanya, ini dalam usaha untuk menarik balik tenaga kerja berkemahiran tinggi untuk kembali ke Malaysia.
“Bakat yang kembali ke Asia Tenggara akan ke Singapura dan bukannya Malaysia. Jadi, perkara ini perlu dikaji dan melihat semula dasar-dasar yang diwujudkan pada masa yang berbeza dari sekarang,” ujarnya. – UTUSAN