SHM Shipcare sedia wujud hab perkhidmatan keselamatan marin

SHM Shipcare sedia wujud hab perkhidmatan keselamatan marin di seluruh Malaysia

HUZEFA Zainuddin dan Roslin Ramli bersama para peserta program CSR “Be the wave of change” di Tanjung Harapan, Pelabuhan Klang, semalam.-UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: SHM Shipcare Sdn. Bhd., salah sebuah syarikat terkemuka dalam industri perkhidmatan marin dan luar pesisir bersedia mewujudkan hab penyediaan perkhidmatan keselamatan marin dan sistem kelangsungan hidup.

Pengarah Eksekutif SHM (Malaysia), Datuk Huzefa Zainuddin berkata, usaha itu melalui perkhidmatan jualan dan penyelenggaraan pelbagai rangkaian peralatan keselamatan maritim dan luar pesisir pantai.

“Antaranya seperti bot keselamatan (Rigid dan Inflatable), peralatan perlindungan diri, peralatan menyelamatkan nyawa dan pelbagai peralatan keselamatan lain.

“Ini untuk menjadikan aktiviti industri pelayaran dan perdagangan laut pengalaman yang lancar merangkumi segala keperluan bagi kegunaan dalam sektor pertahanan, pengurusan bencana, pelancongan dan maritim,” katanya ketika ditemui semasa program tanggungjawab sosial korporat (CSR) ‘Be the wave of change’, Tanjung Harapan, Pelabuhan Klang di sini, semalam.

Dalam pada itu, beliau berkata, syarikat mengadakan aktiviti CSR dengan kerjasama Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Marine Engineering Technology (UniKL MIMET) itu bagi mewujudkan budaya kepentingan menjaga ekosistem dan hidupan laut kepada umum.

“Kami berpegang teguh slogan “Safe Seas, Safe Shores” dan memilih program CSR bertajuk  “Be the wave of change”  yang diadakan di sini (Tanjung Harapan, Pelabuhan Klang) dengan keluasan sejauh 1.5 kilometer.

“Ini juga adalah untuk memberi galakan kepada orang ramai membersihkan kawasan di persisiran laut bagi memelihara dan melindungi hidupan laut yang juga merupakan tempat beriadah untuk orang awam.

“Usaha ini turut membuktikan kepimpinan syarikat  dengan perkhidmatan inovatif melalui aktiviti seperti ini dan akan terus berusaha meningkatkan piawaian keselamatan marin melalui penyelesaian yang berkesan dan dipercayai,” katanya.

Menurut beliau, pengalaman yang diperolehi selama lebih tiga dekad ini telah membuktikan syarikat komited untuk menyediakan perkhidmatan terbaik kepada para pelanggan. 

“Program ini akan menandakan satu langkah penting ke hadapan dan saya teruja untuk melihat impak serta peluang positif yang akan dibawa kepada umum. Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) atas kerjasama yang diberikan bagi menjayakan program ini,” katanya.

Menurutnya, seramai 70 peserta menyertai program itu terdiri daripada kakitangan SHM Shipcare, pelajar UniKL MIMET dan MBDK. 

Sementara itu, Ketua Bahagian Penyelidikan UniKL MIMET, Dr. Roslin Ramli berkata, SHM Shipcare dilihat mempunyai peluang untuk pertumbuhan yang luar biasa di Malaysia.

“Kami teruja dengan kolaborasi ini kerana dapat mendidik pelajar dan masyarakat setempat tentang kepentingan memelihara ekosistem marin dan juga mewujudkan rasa tanggungjawab bersama ke arah mengekalkan persekitaran yang bersih dan sihat. 

“Melalui aktiviti ini, kami berhasrat untuk memberi impak yang ketara kepada persekitaran setempat, di samping memupuk budaya tanggungjawab sosial dan penjagaan alam sekitar di kalangan pelajar dan ahli komuniti.” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×