PETALING JAYA: Projek penggantian Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dijadualkan siap pada 31 Januari 2025, dua bulan lebih awal berbanding tarikh siap asal pada 31 Mac 2025.
Garis masa dipercepatkan itu dimuktamadkan melalui kontrak yang ditandatangani pada 14 Jun tahun ini antara Malaysia Airports (Sepang) Sdn. Bhd. (MA Sepang) dan ALSTOM Transport Systems (Malaysia) Sdn. Bhd. (ALSTOM), syarikat usaha sama IJM Construction Sdn Bhd dan PESTECH Technology Sdn. Bhd. (IJMC-PESTECH JV).
Sebagai Ketua Penyelarasan Projek, ALSTOM akan menyelia penghantaran tiga tren baharu, menaik taraf dua laluan dan keseluruhan ujian komprehensif yang diperlukan untuk operasi yang selamat.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Mohamed Rastam Shahrom merakamkan penghargaan di atas kesabaran penumpang KLIA semasa naik taraf kemudahan lapangan terbang itu.
“Penyiapan awal projek ini lebih awal daripada tarikh asal yang dirancang adalah bukti komitmen kami yang tidak henti untuk menambah baik pengalaman penumpang.
“Kemajuan ini bukan sahaja menangani keperluan operasi segera tetapi juga mengukuhkan kedudukan KLIA sebagai hab pengangkutan terkemuka di rantau ini dengan menyediakan perkhidmatan dan infrastruktur bertaraf dunia kepada penumpang kami,” katanya dalam kenyataan.
Pada Mac 2022, Malaysia Airports telah mengumumkan penganugerahan projek penggantian Aerotrain KLIA dengan garis masa penyiapan yang dijadualkan selama tiga tahun.
Bagaimanapun, projek itu mengalami kelewatan yang mengakibatkan penganugerahan projek baharu pada Januari 2024 kepada konsortium yang terdiri daripada ALSTOM.
Tambahnya, walaupun terdapat halangan, Malaysia Airports dan rakan kongsi projek telah bekerjasama secara berkesan untuk mencapai tarikh penyiapan lebih awal daripada jadual asal dengan melaksanakan strategi inovatif dan pengurusan projek yang cekap.
Mengikut garis masa projek, Aerotrains baharu dijangka tiba di Malaysia dari China menjelang akhir suku ketiga tahun ini.-UTUSAN










