Pelabur asing beli bersih RM202.4j ekuiti tempatan minggu lepas

Pelabur asing beli bersih RM202.4j ekuiti tempatan minggu lepas

BURSA Malaysia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelabur asing terus menyuntik dana ke Bursa Malaysia untuk minggu kedua berturut-turut dengan pembelian bersih berjumlah RM202.4 juta minggu lepas, kata MIDF Amanah Investment Bank Bhd. 

Menurut Laporan Aliran Dana minggu berakhir 14 Jun 2024, firma berkata, pelabur asing  merekodkan jumlah belian bersih RM10.7 juta pada Isnin, RM135.1 juta pada Selasa dan RM197.4 juta pada Khamis.

Katanya, pelabur asing menjual bersih masing-masing RM82.7 juta dan RM58.1 juta pada Rabu dan Jumaat.

“Sektor yang mencatat aliran masuk asing bersih tertinggi minggu lepas ialah utiliti pada RM240.8 juta, produk dan perkhidmatan perindustrian (RM142.8 juta) dan teknologi (RM100.8 juta).

“Sementara itu, sektor yang mempunyai aliran keluar bersih asing tertinggi adalah perkhidmatan kewangan (RM330.9 juta), perladangan (RM126.2 juta) dan telekomunikasi dan media (RM77.2 juta),” ujarnya.

Bank pelaburan berkata, institusi tempatan meneruskan aliran jualan bersih mereka selama dua minggu berturut-turut, walaupun pada jumlah yang berkurangan sebanyak RM25.9 juta, mewakili penurunan 91 peratus berbanding minggu sebelumnya.

“Walaupun terdapat tiga hari dengan belian bersih, dua hari jualan bersih pada hari Selasa dan Khamis berjumlah RM129.1 juta sudah cukup untuk mengimbangi jumlah belian bersih.

“Peruncit tempatan secara konsisten menjual ekuiti domestik selama dua minggu berturut-turut berjumlah RM176.5 juta dengan penjualan berlaku setiap hari kecuali Rabu (RM29.1 juta) dan Jumaat (RM37.5 juta),” ujarnya.

Bank pelaburan berkata, mengenai penyertaan, pelabur runcit mengalami peningkatan dalam purata volum dagangan harian (ADTV) sebanyak 26.9 peratus, institusi tempatan sebanyak 14.1 peratus, manakala pelabur asing menyaksikan penurunan sebanyak 4.8 peratus.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×