Malaysia berada di kedudukan Ke-34 Daya Saing Dunia IMD 2024

Malaysia berada di kedudukan Ke-34 Daya Saing Dunia IMD 2024

MALAYSIA jatuh tujuh tangga dalam Kedudukan Daya Saing Dunia IMD 2024.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia jatuh tujuh tangga dalam Kedudukan Daya Saing Dunia IMD 2024, kepada kedudukan ke-34, sementara Singapura kekal di tempat teratas, menurut International Institute for Management Development (IMD).

Katanya, Malaysia juga turun empat anak tangga ke tempat ke-10 daripada 14 negara Asia Pasifik dan paling rendah berbanding Thailand (25) dan Indonesia (27), namun lebih tinggi berbanding Filipina (52).

“Kedudukan tahunan yang diwujudkan pada 1989 biasanya diperhatikan secara teliti oleh kerajaan, akademik, ahli ekonomi, pelabur dan eksekutif korporat. 

“Selain data statistik dari 67 ekonomi, kedudukan ini juga merangkumi tinjauan dengan eksekutif dan dijalankan antara Mac dan Mei 2024 melibatkan 6,612 pengurus peringkat C dan pertengahan dari 67 ekonomi,” katanya.

Bagaimanapun, jelas IMD, Malaysia mendapat kedudukan tinggi dari segi harga (kedua), infrastruktur asas (10) dan dasar cukai (11) pada peringkat makro. 

“Tetapi, ia kurang berdaya saing dalam bidang pendidikan (44), undang-undang perniagaan (50)  dan produktiviti serta kecekapan (53).

“Cabaran utama bagi Malaysia adalah meningkatkan pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan.

“Ini untuk meningkatkan daya tahan perniagaan, mengoptimumkan pasaran buruh untuk memaksimumkan produktiviti tenaga kerja dan mengemas kini dasar dan peraturan untuk meningkatkan daya saing global,” katanya.

Katanya, cabaran lain termasuk memanfaatkan teknologi canggih untuk mempercepat pertumbuhan produktiviti, serta mengurangkan kos yang semakin meningkat melalui peningkatan produktiviti secara strategik.

“Pasaran baru muncul seperti China, India, Brazil, Indonesia dan Turki telah mengalami pertumbuhan dan pembangunan pesat dalam beberapa dekad kebelakangan ini dan telah menjadi pemain penting dalam perdagangan, pelaburan, inovasi dan geopolitik.

Sementara itu, Pengarah IMD World Competitiveness Center, Arturo Bris berkata, IMD yakin  ekonomi yang paling berdaya saing pada masa depan adalah mereka yang mampu menjangkakan dan menyesuaikan diri dengan konteks global yang berubah.

“Ini sekali gus mencipta nilai dan kesejahteraan untuk rakyat mereka.

“Ekonomi dunia menghadapi cabaran daya saing utama, termasuk beralih kepada ekonomi rendah karbon dan kitar semula sambil peka dengan peningkatan integrasi pasaran baru muncul ke dalam ekonomi dunia dan mengikuti transformasi digital,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×