Kopi Saigon sasar tembusi pasaran Asia Tenggara

Kopi Saigon sasar tembusi pasaran Asia Tenggara

Asyraf Kamal (tengah) mempromosikan Kopi Saigon di Pameran dan Persidangan Francais Antarabangsa Malaysia 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur baru baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rangkaian kedai kopi Vietnam, Kopi Saigon menyasarkan untuk menembusi pasaran Asia Tenggara termasuk Singapura, Brunei dan Filipina pada tahun depan.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Asyraf Kamal berkata, pihaknya masih dalam proses mencari peluang untuk mengorak langkah ke pasaran luar setelah berjaya membuka hampir 100 cawangan sejak 2021.

“Kami memang mempunyai perancangan besar untuk mengembangkan jenama kami ke luar negara dan yakin terhadap peluang yang ada di sana.

“Kami juga melihat potensi besar untuk syarikat ini dalam tempoh 10 tahun akan datang dan kami tidak hanya akan terus menjual kopi, tetapi juga akan mengembangkan beberapa cabang perniagaan baharu seperti sektor penginapan, serta memperkenalkan jenama baharu yang inovatif dan menarik,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut beliau, bagi pasaran tempatan, pihaknya akan terus memberi tumpuan untuk memperkukuhkan jenamanya di Malaysia dengan menyasarkan pembukaan sebanyak 150 cawangan tahun ini.

Ujarnya, sehingga hari ini, sebanyak 32 cawangan telah mengesahkan tempahan dan pembayaran, menjadikan jumlah keseluruhan cawangan yang akan dibuka sebanyak 124.

“Kami sedang giat mencari baki 26 cawangan lagi untuk mencapai sasaran 150 cawangan pada tahun ini.

“Pasaran utama saat ini adalah di wilayah pantai timur dan utara, namun untuk mencapai sasaran, kami agresif mencari pengusaha untuk membuka outlet di selatan,” ujarnya.

Beliau berkata, pencapaian yang memberangsangkan itu mencerminkan permintaan yang semakin meningkat terhadap jenama Kopi Saigon.

“Kami komited untuk mengukuhkan kedudukan dalam industri kopi di negara ini dengan merancang pelbagai strategi pengembangan yang memastikan kehadiran Kopi Saigon di lebih banyak lokasi, memenuhi permintaan pasaran dan terus menyediakan kopi berkualiti tinggi kepada semua pelanggan.

“Untuk mencapai matlamat ini, kami dengan aktif menyertai acara-acara besar dan ekspo francais bagi memperluas rangkaian dan menarik minat pelabur baharu.

“Kami juga mengutamakan penggunaan pemasaran digital untuk meningkatkan kesedaran jenama dan menarik pelanggan baru,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN