DMG lancar produk pertama jenama MyKu-Kiss

DMG lancar produk pertama jenama MyKu-Kiss

HASSAN Saad (hujung kanan) ketika merasmikan majlis “Sejuta Kasih MyKu-Kiss” di DMG Food Industries Sdn. Bhd., Kampung Batu Muda di sini baru-baru ini. UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: DMG Food industry Sdn. Bhd. (DMG) menyasarkan penjualan satu juta biskut mentega iaitu produk pertamanya di bawah jenama MyKu-Kiss dalam tempoh enam bulan.

Pengurus Besar DMG, Datuk Hassan Saad berkata, pihaknya bekerjasama dengan Dewan Perniagaan Orang Kelainan Upaya (OKU) di mana warga OKU akan terlibat dalam proses pengeluaran dan pemasaran produk tersebut.

Menurutnya, dengan harga RM5.90 seunit, pihaknya yakin mereka dapat meraih hasil jualan RM5.9 juta bagi tempoh sasaran penjualan satu juta kotak biskut mentega MyKu-Kiss.

“Justeru, bagi mencapai objektif sasaran kami, produk pertama MyKu-Kiss ini akan dijual secara dalam talian, selain diedarkan di stesen minyak, kedai serbaneka dan kedai runcit. 

“Dewan Perniagaan OKU akan meraih keuntungan bagi setiap kotak biskut mentega yang dijual, seterusnya dijadikan dana untuk mempergiatkan aktiviti golongan istimewa,” katanya dalam sidang akhbar majlis pelancaran Sejuta Kasih MyKu-Kiss di kilang DMG baru-baru ini.

Pada Sabtu lalu, sebanyak 10,000 kotak biskut mentega MyKu-Kiss diedarkan di Perlis, bagi penjualan pertama produk jenama ke negeri tersebut dan akan diedarkan ke seluruh Malaysia. 

Menurut beliau, kerjasama dengan Dewan Perniagaan OKU bagi jenama tersebut merupakan projek pertama syarikat DMG sejak syarikat itu diambil alih pada Januari 2023.

“Sebelum ini, kami cuba membuat kuih raya, namun kami dapati jualan secara berkonsep seperti pelancaran projek MyKu-Kiss ini dapat menjadikan DMG lebih berdaya saing.

“Dalam perancangan tempoh terdekat, kami akan menghasilkan ‘Cookies Minda’ berintikan kismis, dengan menyasarkan penjualan di seluruh koperasi sekolah di Malaysia.

“Harga bagi sekotak produk baharu itu akan dijual pada RM2 dan kami menyasarkan jualan kasar tujuh juta kotak dalam sebulan,” katanya.

Tambahnya, syarikat tersebut juga mempunyai rancangan untuk mengeksport anggaran 50 peratus daripada pengeluaran biskut mentega MyKu-Kiss ke pasaran China.

“Ini kerana saya yakin dengan adanya kemudahan ketuhar untuk membakar biskut di kilang DMG, mampu mengeluarkan 5,000 biskut dalam 15 minit.

“Sekiranya operasi produksi pengeluaran kilang adalah secara berterusan, dijangka DMG mampu mengeluarkan hampir 20 tan biskut dalam seminggu,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×