PETALING JAYA: Bursa Malaysia ditutup lebih tinggi semalam berikutan aktiviti belian saham pada harga rendah dalam saham wajaran tinggi, kata penganalisis.
Pada pukul 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 18.72 mata kepada 1,615.40 daripada 1,596.68 pada penutup dagangan Jumaat.
Indeks penanda aras, yang dibuka 0.74 mata lebih rendah pada 1,595.94, turun naik antara 1,595.35 dan 1,617.41 sepanjang sesi dagangan.
Di pasaran yang lebih luas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi 666 berbanding 545, dengan 467 kaunter tidak berubah, 674 tidak diniagakan dan 16 yang lain digantung.
Jumlah dagangan merosot kepada 4.46 bilion unit bernilai RM3.94 bilion daripada 5.45 bilion unit bernilai RM6.84 bilion pada Jumaat.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn. Bhd., Thong Pak Leng berkata, FBM KLCI meningkat semula selepas ditutup di bawah paras 1,600 pada Jumaat lalu kerana terdapat aktiviti belian saham pada harga rendah.
“Wall Street ditutup bercampur-campur berikutan data pembuatan dan pembinaan Amerika Syarikat (AS) yang lemah serta harga minyak mentah yang merosot,” katanya.
Sementara itu, pada pukul 9 pagi semalam, ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS kepada 4.6860/6930 daripada 4.7050/7080 pada Jumaat lalu, kemudian ditutup pada 4.6980/7020.
Mengulas lanjut, penganalisis ekonomi, Prof. Dr. Barjoyai Bardai berkata, pengukuhan ringgit berbanding dolar AS didorong oleh persepsi dan sentimen positif terhadap ekonomi Malaysia oleh pelabur asing jangka panjang.
Ujarnya, ini dapat dilihat melalui kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) oleh beberapa syarikat teknologi gergasi antarabangsa baru-baru ini yang menunjukkan keyakinan pelabur asing terhadap ekonomi negara semakin meningkat dan seterusnya mendorong kepada pengukuhan mata wang negara.
“Selain itu, mata wang dolar yang lemah ketika ini juga membantu meningkatkan nilai ringgit.
“Dolar AS melemah disebabkan oleh perkembangan mata wang baharu iaitu BRICS yang dicipta oleh Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan,” katanya.
Sementara itu, Barjoyai berkata, walaupun ringgit mengukuh, pasaran saham indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) pula melemah pada minggu lalu.
“Pasaran saham turun daripada diniagakan di atas paras 1,600 kepada 1,500. Perkara ini sebenarnya agak ganjil. Pergerakan ringgit dan pasaran saham sepatutnya selari.
“Perkembangan ini menunjukkan mungkin pelabur jangka pendek masih lagi mempunyai keraguan dalam sentimen ekonomi negara,” ujarnya.
Tambah Barjoyai, beliau yakin minat pelabur asing jangka panjang terhadap negara akan terus memberikan sentimen positif dan memacu kepada pengukuhan ringgit.
“Ramalan sebelum ini adalah ringgit capai RM4.40 berbanding dolar AS menjelang akhir tahun. Dengan adanya FDI baharu, saya yakin perkara itu boleh dicapai,” jelasnya. – UTUSAN










