KUALA LUMPUR: Avaland Berhad (Avaland) melancarkan pencapaian terbaharu, Aetas Seputeh yang merupakan pembangunan pertamanya di Kuala Lumpur dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM504 juta.
Ketua Pegawai Eksekutif Avaland, Apollo Bello Tanco (Pol) berkata, projek kondominium mewah itu dijangka siap pada 2028.
Katanya, setakat ini, sebanyak 50 peratus unit Aetas Seputeh telah terjual dengan bermula harga RM3.5 juta bagi sebuah kondominium.
“Didorong oleh kejayaan Aetas Damansara, Avaland memulakan pengurusan Aetas Seputeh, dengan mengambil inspirasi daripada ketenangan Seputeh sebuah kehidupan mewah yang harmoni.
“Aetas Seputeh merangkumi intipati kehidupan bandar yang diselitkan dengan pesona tempatan dan kemewahan yang berharga,” katanya dalam ucapan dalam Majlis Pelancaran projek Aetas Seputeh di sini.
Aetas Seputeh merupakan projek kondominium penthouse dengan 126 unit merangkumi dua blok iaitu Tower A sebanyak 46 unit Tower B (38 unit) di tanah seluas 1.57 ekar. Saiz unit bermula 3,531 hingga 4,005 kaki persegi.
Aetas Seputeh mempunyai susun atur yang direka dengan teliti, reka bentuk yang luar biasa dan berada di lokasi strategik.
Projek itu telah merangkul anugerah lima Bintang ‘Seni Bina Kediaman Bertingkat Tinggi Terbaik’ berprestij Malaysia’ (Best Residential High Rise Architecture Malaysia) di Anugerah Hartanah Asia Pasifik 2024 di Bangkok baru-baru ini.
Pengiktirafan ini meletakkan projek Aetas Seputeh sebagai sebuah kediaman bertingkat terbaik dan akan mewakili Asia Pasifik dalam Anugerah Hartanah Antarabangsa (IPA) pada September depan.
Dalam pada itu, Apollo berkata, Avaland bakal melancarkan empat projek baharu berjumlah RM1.7 bilion dan dijangka siap dalam tempoh 18 bulan.
“Avaland juga tidak sabar bagi pelancaran projek Anja Residences & Signature Retail pada tahun ini yang merupakan inisiatif perbankan tanah mereka pada tahun 2023.
“Usaha niaga ini mempunyai kedudukan strategik yang bersedia untuk menarik pembeli daripada pelbagai segmen pasaran, sekali gus memastikan kedudukan Avaland sebagai peneraju hartanah yang dinamik,” katanya. – UTUSAN