Pelanggan bank sasaran scam penyamaran pegawai pusat tangani penipuan - Utusan Malaysia

Pelanggan bank sasaran scam penyamaran pegawai pusat tangani penipuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bank bawah Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) dan Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) meminta orang ramai berhati-hati terhadap scam penyamaran sebagai pegawai Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC).

ABM dan AIBIM dalam kenyataan bersama berkata, jumlah penipuan membabitkan scam itu semakin meningkat dengan sindiket menyasarkan pelanggan bank.

“Sindiket akan menyamar sebagai sebagai pegawai NSRC dan cuba menakutkan mangsa dengan mendakwa maklumat peribadi mereka seperti nombor kad pengenalan atau nombor telefon mereka terlibat dengan aktiviti haram.

“Pelanggan digesa terus meletakkan telefon sekiranya mereka menerima panggilan daripada individu yang memperkenalkan diri sebagai pegawai NSRC, kerana NSRC hanya menerima panggilan daripada orang ramai dan tidak akan membuat panggilan kepada mana-mana individu,” menurut kenyataan itu.

Persatuan itu berkata, pihak bank juga menggalakkan orang ramai untuk berhati-hati terhadap scammer yang menyamar sebagai pegawai dari agensi penguatkuasaan dan badan kawal selia, seperti Bank Negara Malaysia dan Polis Diraja Malaysia yang mengancam mangsa.

“Selain itu, taktik menakutkan melalui panggilan telefon untuk memanipulasi mangsa memindahkan wang dari akaun bank mereka dan mendedahkan butiran perbankan dalam talian mereka.

“Pihak bank tidak akan meminta maklumat peribadi pelanggan seperti nombor kad debit atau kredit dan nombor nilai pengesahan kad (CVV), nama pengguna dan kata laluan perbankan dalam talian serta nombor SMS OTP atau TAC,” ujarnya.

Kenyataan itu menegaskan pihak bank kekal komited menyediakan pengalaman perbankan yang lebih selamat dan terjamin kepada pelanggannya.

Katanya, pihak bank telah melaksanakan lima langkah utama sejak Julai 2023, termasuk menggantikan SMS OTP dengan kaedah pengesahan lebih selamat dan memperkenalkan tempoh bertenang untuk pendaftaran pertama kali akses perbankan dalam talian.

“Pihak bank juga membenarkan hanya satu peranti mudah alih atau peranti selamat untuk didaftarkan dan menyediakan saluran aduan khusus secara 24 jam dan tujuh hari seminggu untuk pelanggan,” kata persatuan itu dan meminta pelanggan mengamalkan langkah-langkah keselamatan dalam talian agar termasul tidak mengklik pautan daripada nombor yang tidak dikenali dan memuat turun sebarang aplikasi melalui aplikasi pesanan ringkas seperti Telegram dan WhatsApp.

“Antaranya, hanya muat turun aplikasi daripada platform rasmi seperti Apple App Store dan Google PlayStore serta jangan kongsi nama pengguna serta kata laluan perbankan anda dengan sesiapa, termasuk rakan dan ahli keluarga.

“Selain itu, elakkan melayan panggilan telefon atau mesej dari nombor telefon yang tidak dikenali,” katanya.

Mangsa scam harus menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan di 997 atau talian khidmat pelanggan 24/7 bank untuk mendapatkan bantuan. Pelanggan juga digalakkan melindungi diri mereka dengan mengambil tahu modus operandi scam terkini di www.JanganKenaScam.com. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN