Times Square 2 dilancar dengan GDV RM625 juta - Utusan Malaysia

Times Square 2 dilancar dengan GDV RM625 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Berjaya Times Square Sdn. Bhd. (BTS), anak syarikat Berjaya Asset Bhd. melancarkan projek Times Square 2 yang terletak di Jalan Imbi dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM625 juta.

Pengarah Eksekutif BTS, Tan Tee Ming berkata, projek dijangka siap pada penghujung 2027 dan setakat ini, sebanyak 50 peratus kediaman tersebut telah dijual.

“Saya yakin projek ini akan habis dijual pada akhir tahun ini,” katanya dalam sidang media sempena majlis pelancaran Times Square 2.

Menurutnya, projek pembangunan pangsapuri tersebut melibatkan sebanyak 629 unit kediaman yang dilancarkan dalam dua fasa dengan fasa pertama terdiri daripada 375 unit.

“Kami yakin projek ini akan mendapat sambutan kerana lokasi strategik, kemudahan moden, harga yang menarik dan ketersambungan yang baik.

“Pembeli luar boleh menjadikannya sebagai kediaman menggantikan hotel ketika berkunjung ke ibu negara atau menjadikan sebagai rumah inap untuk pelancong kerana lokasinya yang strategik,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutifnya, Syed Ali Shahul Hameed berkata, projek tersebut bakal menjadi tarikan kerana lokasinya yang terletak bersebelahan pusat beli-belah Berjaya Times Square dan Bukit Bintang City Centre.

“Menampilkan 629 unit pangsapuri servis di menara 41 tingkat, Times Square 2 direka untuk melengkapkan Berjaya Times Square, yang juga menempatkan pusat beli-belah, pangsapuri servis, taman tema dalaman, hotel dan pejabat,” katanya.

Terdapat empat reka bentuk susun atur untuk Times Square 2 dengan binaan daripada 488 kaki persegi (satu bilik tidur) kepada 1,356 kaki persegi (tiga bilik tidur).

Harga jualan untuk fasa pertama bermula pada RM1,500 setiap kaki persegi (psf).

Beberapa kemudahan yang disediakan di Aras 7 dan 41 ialah kolam infiniti 40 meter, bilik sauna, tempat melihat, taman herba, kawasan barbeku, kawasan permainan haiwan peliharaan, dewan serba guna, taman permainan, taman berjalan kaki dan gim luar.

Di samping itu, projek itu akan mempunyai 15 unit runcit, termasuk lot restoran khusus atas bumbung dan pandu lalu.

Unit kediaman tersebut boleh diperoleh pada harga antara RM688,000 hingga RM2.65 juta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya