TERDIRI daripada pasangan kembar skuter baharu yang dipasarkan oleh Suzuki Malaysia baru-baru ini, Suzuki Burgman Street 125 Ex ini diperkenalkan serentak dengan model skuter Avenis 125.
Suzuki Burgman adalah model yang tidak asing lagi pada pencinta skuter tempatan, kerana model Burgman telah pun mencecah ‘kaki’ ke perairan negara dengan model 400cc sekitar dua tahun yang lalu. Burgman 400cc ini sungguh selesa dan mempunyai kuasa yang cukup memuaskan untuk penunggangan jarak sederhana dan jarak jauh. Begitupun, Suzuki Burgman mungkin kurang popularitinya berbanding skuter-skuter maxi yang terdapat dalam pasaran tempatan seperti Yamaha T-Max, SYM Maxsym TL atau pun BMW C400 GT. Faktor utama akibat kekurangan populariti mungkin kerana rekaan fizikalnya yang agak sedikit ketinggalan zaman.
Apabila saya mendapat tahu akan ada versi Burgman yang lebih kecil kuasa enjinnya, saya agak teruja pada mulanya. Menjangkakan ia akan hadir dalam versi 250cc, kerana bagi saya, skuter 250cc adalah satu varian yang mampu memberikan kepuasan sama ada dari segi saiz fizikal dan prestasi enjin dalam satu pakej.
Namun apabila mendapati Burgman didatangkan dengan model 125cc, secara jujurnya, saya agak kecewa. Walaupun sebelum menunggang uji, saya telah pun mempunyai ‘mental block’ terhadap model ini kerana mengimbas kembali sesi tunggang uji saya dengan skuter-skuter berkapasiti 125cc pada masa lalu.
Walau bagaimanapun, tugasan harus dilaksanakan, maka inilah hasil tunggang uji saya terhadap Suzuki Burgman Street 125 Ex.
REKA BENTUK FIZIKAL
Kecil. Itulah hakikatnya. Seperti Honda Vario 125 dan Yamaha Ego Gear, fizikalnya agak kecil. Akan tetapi, sekiranya dibandingkan dengan ‘kembar’nya yang dilancarkan serentak, Burgman ini tampak lebih teguh dan sedikit dominan berbanding Avenis 125 yang ternyata menyasarkan fizikal lebih ‘sporty’.
Burgman 125 EX ini masih mencuba sedaya upaya untuk mengekalkan tradisi ciri-ciri keselesaan untuk penunggangnya. Ciri utama yang saya kenal pasti dengan hanya pandangan pertama iaitu ruang meletakkan kaki yang agak luas. Ciri ini membolehkan penunggang seperti saya (183cm) mampu untuk melunjurkan kaki untuk penunggangan yang lebih rileks atau mengubah kedudukan kaki pada bila-bila masa untuk memadankan penunggangan mengikut situasi dan lokasi.
Ruang pelana agak tampak luas dan selesa (terhad kepada saiz keseluruhannya) dan apabila dibuka pelananya untuk melihat ruang penyimpanan barangan di bawah pelana, terdapat ruang yang agak dalam dan berisi padu 21.5 liter. Sayang sekali, hanya beberapa jenis helmet yang mampu diisi didalamnya, manakala kebanyakan helmet dalam pasaran, terutama rekaan terbaharu yang mempunyai ‘spoiler’ atau pengimbas aruhan angin, pasti tidak dapat muat dalam ruang tersebut.
Rekaannya dari depan sampai belakang, menunjukkan kumpulan sasar yang harus memiliki skuter ini. Pemiliknya pasti seorang yang mementingkan gaya, elegan dan imej yang matang. Malah, pemilihan warnanya juga mencerminkan kumpulan sasar ini dengan hanya dua warna untuk dipilih iaitu Metallic Matte Black atau Pearl Moon Stone Gray (seakan kelabu gelap). Tiada warna terang atau replika perlumbaan yang ditawarkan.
PENUNGGANGAN
Saya harus mengetengahkan sistem enjinnya yang menjadi tarikan utama varian ini iaitu sistem SEP Alpha (Suzuki Eco Performance). Sistem ini membolehkan penunggangnya lebih mesra alam dengan pengurangan pencemaran udara dalam penggunaannya. Ini dicapai dengan kebolehan enjinnya berhenti (mati) sendiri apabila berhenti secara statik (seperti di persimpangan lampu isyarat) dan dihidupkan semula dengan hanya memulas kembali pendikit (throttle) tanpa sebarang bunyi penghidup elektrik yang ketara bunyinya.
Sistem “Auto Start” ini, walaupun bukanlah baharu, namun kebolehan ini masih terdapat perdebatan antara ‘bijak pandai’ tentang ketahanan bateri motosikal-motosikal yang menggunakan sistem ini.
Apabila percubaan untuk membuat pusingan U atau pergerakan membelok, terutama dari keadaan statik, saya merasakan skuter ini seperti akan tergelincir. Perasaan bar handel yang terlalu ringan ini mungkin disebabkan darjah kecerunan handel, penyerap hentakan hadapan dan kedudukan roda hadapan yang agak terlalu menegak, menyebabkan perasaan ini timbul. Saiz rodanya yang kecil (12in), bagi saya, turut menyumbang faktor ini.
Meluncur dalam kota ternyata agak menyenangkan dan tanpa sebarang perasaan gusar dan sebagainya. Begitu juga ketika ‘mencilok’ antara kereta dalam kesesakan lalu lintas ibu kota. Kuasa tujahannya memadai untuk menggerakkan skuter ini dengan hanya 8.7PS pada kadar rpm 6750 atau kuasa torknya yang mencapai 10Nm pada kadar rpm 7,300.
Kekecewaan mula melanda apabila anda terpaksa melalui lebuh raya yang menghubungkan kota dengan perumahan anda yang berada di pinggir Lembah Klang. Untuk mencapai kelajuan 100km/j ternyata menjadi satu tugasan sukar, walau boleh dicapai namun harus mengambil sedikit masa dan keberadaan sekitar.
Begitupun, keupayaan penyerap hentakan skuter ini agak signifikan dan melakukan tanggungjawab dengan sebaiknya dalam keadaan laluan jalan yang tidak rata atau berbonggol-bonggol. Saya juga mendapati sistem penyerap hentakan tunggal belakang, berfungsi dengan agak baik, sesuailah dengan keupayaan enjinnya.
KESIMPULAN
Mungkin agak terlalu sadis mengatakan skuter ini patut disasarkan kepada mereka yang bukan ‘pencinta kelajuan’. Tetapi inilah hakikatnya. Daripada reka bentuk fizikal, skim warna, setiap garisan yang merangkumi fizikalnya, ia bukan untuk mencapai ‘top speed’.
Memadailah ia disasarkan untuk mereka yang harus bergerak dalam sekitar bandaraya, sebagai tunggangan ke masjid, pasar, menghantar dan mengambil anak sekolah (yang berdekatan dengan rumah), serta para wanita yang mahu bergerak sendiri tanpa memerlukan pemanduan kereta atau dihantar oleh ibu bapa atau suami.
Dipasarkan dengan harga RM7,500 seunit, tanpa caj insurans, pendaftaran dan cukai jalan, sudah pasti membuatkan ia dalam jangkauan mampu milik.
Alangkah baiknya sekiranya Burgman ini didatangkan dalam versi 250cc yang sudah pastinya memberikan saingan kepada skuter-skuter maxi 250cc yang berada dalam pasaran. Saya juga kurang pasti, mengapakah kegemilangan Suzuki VS125 dahulu, yang mendominasi pasaran skuter di akhir 90-an dan awal millennium, tidak dapat diulang kembali pada model-model skuter Suzuki kini.
Adakah kerana perubahan selera generasi terkini, atau kegagalan pengeluar (Suzuki) sendiri yang tidak arif tentang trend dan minat kumpulan sasar mereka?-UTUSAN










