Stesen HSR jadikan Forest City hab ekonomi, logistik - Utusan Malaysia

Stesen HSR jadikan Forest City hab ekonomi, logistik

ISHMAEL Ho (kanan) dan Ho Chin Soon menunjukkan lokasi Forest City yang sesuai dibangunkan dengan sebuah stesen HSR untuk pembangunan ekonomi negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Pembinaan sebuah stesen Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) di Forest City, dekat sini bakal menjadikan lokasi berkenaan sebagai hab ekonomi dan pengangkutan di selatan tanah air.

Ketua Pegawai Eksekutif Ho Chin Soon Research (HCS), Ishmael Ho berkata, pembinaan HSR yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura itu bakal memberi impak jangka masa panjang kepada negara.

Menurutnya, sistem pengangkutan itu merupakan pilihan terbaik bagi menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia dan Johor, selari dengan inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Zon Kewangan Khas (SFZ).

“Langkah ini juga selari dengan hasrat Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam menjadikan negeri ini sebuah negeri maju menjelang 2030.

“Sehubungan itu, kami berharap kerajaan dapat merealisasikan hasrat menjadikan negara ini sebagai sebuah kuasa ekonomi di rantau Asia Tenggara dengan adanya kemudahan pengangkutan awam seumpama itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah mahu perkara itu dilaksanakan kerana ia bakal memberi impak positif bukan sahaja ke kawasan berkenaan, malah membawa limpahan ekonomi ke seluruh wilayah Iskandar Malaysia.

Ishmael berkata, kajian dibuat HCS Research turut meletakkan stesen HSR Forest City sebagai satu kawasan penting bagi menjayakan laluan Rel Keretapi Pan Asia yang menghubungkan utara Kunming, China hingga ke selatan Jakarta, Indonesia.

“Forest City mempunyai potensi menjadi hab logistik selain turut membuka pasaran baharu di sepanjang laluan rel berkenaan termasuk pasaran Indonesia yang mempunyai potensi tinggi dengan jutaan penduduk dan kuasa beli.

“Sehubungan itu, kami berharap pihak berkuasa dapat mempertimbangkan perancangan tersebut secara serius sejajar usaha meningkatkan ekonomi Malaysia dengan mengukuhkan kerjasama bersama Singapura dan Indonesia,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi HCS, Ho Chin Soon berkata, titah cadangan Sultan Ibrahim itu akan menyokong usaha kerajaan menjayakan pelbagai projek ekonomi berimpak tinggi, khususnya JS-SEZ dan SFZ.

“Pemilihan Forest City sebagai lokasi stesen akan menjadi pemangkin bukan sahaja dalam aspek ekonomi, malah juga pembinaan infrastruktur serba lengkap dan pelbagai subsektor ekonomi hiliran yang akan memberi manfaat positif kepada penduduk setempat.

“Sistem pengangkutan rel akan membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada Johor dan Malaysia kerana ia merupakan bentuk pengangkutan terbaik dibandingkan dengan pengangkutan lain seperti kereta atau bas,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya