Smart Asia sasar  IPO raih RM37.4 juta

Smart Asia sasar  IPO raih RM37.4 juta

Smart Asia lancar prospektus.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Smart Asia Chemical Bhd. (Smart Asia) menyasar meraih hasil sebanyak RM37.4 juta melalui tawaran awam permulaan (IPO) membabit terbitan 93.5 juta saham pada harga 40 sen sesaham sempena penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 28 Mei 2024.

Tempoh permohonan IPO Smart Asia akan bermula hari ini dan ditutup pada 13 Mei 2024 pada pukul 5 petang.

Sebahagian besar IPO tersebut akan digunakan untuk membiayaai pembinaan Loji Perak miliknya.

Pengarah Urusan Smart Asia, Goh Chye Hin berkata, berdasarkan modal saham kumpulan yang diperbesarkan sebanyak 369.85 juta saham dan harga IPO tersebut, permodalan pasaran akan menjadi kira-kira RM147.9 juta.

Katanya,  hasil diperoleh daripada IPO akan membolehkan Smart Asia memenuhi fasa seterusnya pengembangan perniagaannya. 

“Smart Asia memperuntukkan sebanyak RM27 juta daripada hasil iaitu 42.78 peratus  untuk membiayai sebahagian pembinaan Loji Perak dan, 29.41 peratus untuk  pembelian dan pentauliahan sistem pengeluaran cat automatik di Loji Perak,” katanya semasa pelancaran prospektus Smart Asia, di sini, hari ini. 

Tambahnya, sebanyak RM5 juta (13.37 peratus) untuk pembelian 250 set mesin mewarna POS warna pintar. 

“Manakala, baki kutipan sebanyak RM1.3 juta (3.5 peratus) digunakan untuk modal kerja dan RM4.1 juta (11 peratus) bagi perbelanjaan berkaitan penyenaraian,” ujarnya.

Mengulas mengenai penubuhan loji Perak, Pengarah Eksekutif Tidak Bebas dan Ketua Pegawai Operasi Smart Asia, Lim Kok Beng berkata,  loji itu dijadual dirasmikan pada 9 Mei  ini. 

Katanya, peningkatan kapasiti Loji Perak sebesar 95,170 kaki persegi itu bertujuan menyokong pertumbuhan jangka panjang masa depan kumpulan. 

“Kami jangka menggunakan kira-kira 50 peratus daripada kapasiti pembuatan (iaitu 13.50 juta liter setahun) Loji Perak dalam tempoh tiga tahun menjelang 2026 dan menyasarkan mencapai kadar penggunaan kira-kira 70 peratus menjelang 2029 hingga 2030,” katanya. 

Beliau berkata, Smart Asia turut menjangkakan mengguna hampir 95 peratus kapasiti pengeluaran maksimum Loji Perak menjelang 2032.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN