PETALING JAYA: Sektor berkaitan teknologi seperti eksport produk semikonduktor dijangka memacu pertumbuhan eksport negara, kata penganalisis.
Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, prestasi eksport and import negara dilihat positif meskipun di bawah jangkaan para penganalisis ekonomi.
“Hal ini disebabkan, eksport and import bertumbuh pada kadar 9.1 peratus dan 15.6 peratus pada April lalu berbanding jangkaan 14.1 peratus bagi eksport dan 17.8 peratus bagi import.
“Kesemua sektor utama seperti pertanian, pembuatan dan perlombongan mencatatkan kenaikan yang tinggi.
“Perkara ini menunjukkan sektor luaran berpotensi untuk membantu menyokong pertumbuhan ekonomi negara pada tahun ini ,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Menurut beliau, pada suku pertama, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) telah melebihi sasaran para penganalisis apabila berkembang pada kadar 4.2 peratus berbanding jangkaan 3.9 peratus.
Ujarnya, berdasarkan unjuran yang dibuat oleh pihak World Semiconductor Trade Statistics (WSTS), jualan semikonduktor dijangka meningkat 13.1 peratus pada tahun ini.
“Justeru, eksport produk semikonduktor negara dijangka akan bergerak seiring dengan unjuran tersebut memandangkan Malaysia merupakan pemain utama dalam industri ini,” katanya.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) memaklumkan, eksport negara kembali kukuh pada April 2024 apabila mencatatkan peningkatan 9.1 peratus tahun ke tahun kepada RM114.72 bilion selepas penyusutan dua bulan berturut-turut.
Jelas kementerian, pertumbuhan itu disumbang oleh kenaikan eksport jentera, kelengkapan dan peralatan, kimia dan bahan kimia, petroleum mentah, minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit serta barangan besi dan keluli.
Katanya, dari segi pasaran, eksport ke ASEAN, Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) merekodkan pertumbuhan dua digit manakala eksport ke Republik Rakyat China
(China) pulih daripada pertumbuhan negatif yang direkodkan pada bulan sebelumnya.
Ini menggambarkan pemulihan ekonomi sedang berlaku di pasaran eksport utama Malaysia. – UTUSAN